GSM tiada urusan dengan Ratu Naga atau Azharuddin

GSM tiada urusan dengan Ratu Naga atau Azharuddin

Kamarudin Jaffar turut menekankan semua usaha telah diambil untuk mengeluarkan tandatangan mencurigakan daripada Deklarasi Rakyat.

Kamaruddin-Jaafar

PETALING JAYA:
Gerakan Selamatkan Malaysia (GSM) menafikan mempunyai hubungan atau urusan dengan pengaturcara komputer separuh masa, Azharuddin Othman @ Abdullah mahupun Syarul Ema Rena Abu Samah atau Ratu Naga.

Setiausaha Sekretariat GSM, Kamarudin Jaffar turut menekankan semua usaha telah diambil untuk mengeluarkan tandatangan mencurigakan daripada Deklarasi Rakyat.

Jelasnya, setelah disahkan jumlah tandatangan atas talian yang diterima setakat ini ialah 1,071,997 dengan 253,505 tandatangan ditolak atas faktor pertindihan dan tidak lengkap manakala sebanyak 200,000 adalah tandatangan yang diterima secara bercetak.

“Kami sedar usaha untuk memperkecilkan sokongan rakyat kepada deklarasi ini dan juga penentangan terhadap usaha-usaha agenda reformasi.

“Audit terhadap tandatangan yang diterima dilakukan secara berterusan untuk memastikan integriti dan kesahihan.

“GSM yakin tandatangan yang akhirnya diserahkan kepada Yang di-Pertuan Agong adalah yang selayaknya dengan kepercayaan dan tanggungjawab yang diberikan oleh mereka yang menandatangani deklarasi kepada kami,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Khamis lalu, Ratu Naga menafikan sekeras-kerasnya pernah berhubung dengan Azharuddin Othman @ Abdullah, apatah lagi membeli pangkalan data yang mengandungi 900,000 nama dan nombor kad pengenalan untuk Deklarasi Rakyat.

“Dengan nama Allah saya tak kenal dia langsung. Ini fitnah. Tapi saya tergamam sebab dia boleh bersumpah kenal saya,” kata Ratu Naga.

Terdahulu pada hari sama, Azharuddin Othman @ Abdullah tampil dengan akuan berkanun mendakwa didatangi Ratu Naga yang ingin membeli pangkalan data mengandungi 900,000 nama pada harga RM5,000.

“Pada 27 April 2016, saya dihubungi oleh Ratu Naga untuk membeli pangkalan data warganegara Malaysia dengan tujuan mengumpul 1.2 juta tandatangan untuk Deklarasi Rakyat yang disokong oleh Tun Mahathir (Mohamad),” katanya yang mendakwa memiliki data itu berdasarkan kerjanya sebagai pengaturcara komputer separuh masa dengan parti-parti politik bagi tujuan pilihan raya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.