Selfie dengan kucing tak haram – Mufti N9

Selfie dengan kucing tak haram – Mufti N9

Tiada nas dalam al-Quran atau hadis melarang perkara sedemikian.

Datuk-Mohd-Yusof-Ahmad

PETALING JAYA:
Hubungan baik antara manusia dan kucing wujud sejak zaman Rasulullah SAW apabila salah seorang sahabatnya sendiri dinamakan sebagai Abu Hurairah yang bermaksud Bapa Kucing.

Ini menunjukkan betapa beliau terlalu menyayangi haiwan berkenaan.

Justeru perbuatan mengambil gambar bersama kucing tidak haram, bertentangan dengan apa diisytiharkan oleh ulama Arab Saudi, Sheikh Saleh Al-Fauzan.

Mufti Negeri Sembilan, Datuk Mohd Yusof Ahmad menjelaskan tindakan merakam gambar dalam bentuk foto merupakan sesuatu yang harus malah tiada nas dalam al-Quran atau hadis melarang perkara sedemikian.

“Orang ramai dinasihatkan agar tidak mudah melatah. Berdasarkan penelitian dan pemahaman saya, beliau mengharamkannya disebabkan bimbang trend dari Barat itu menular di Arab Saudi. Ini yang saya tidak faham… mengapa beliau perlu takut?
“Sedangkan sahabat Rasulullah SAW sendiri dinamakan sebagai Abu Hurairah yang bermaksud Bapa Kucing kerana terlalu menyayangi haiwan berkenaan.

Apatah lagi kucing memang menjadi peliharaan di negara ini. Cuma kebetulan trend itu dipopularkan oleh Barat,” katanya memetik laporan Sinar Harian Online.

Beliau berkata demikian ekoran pengharaman bergambar atau selfie dengan kucing yang diisytiharkan Sheikh Saleh berikutan hukum berkenaan tidak terpakai di negeri ini.

Kenyataan ulama terbabit yang menegaskan bahawa mengambil gambar adalah haram, tidak kira dengan kucing, anjing, serigala atau apa-apa sahaja kecuali darurat ketika menjawab pertanyaan penonton dalam sebuah rancangan televisyen, kini mula menjadi viral di internet.

Bagaimanapun, beliau akui Sheikh Saleh mungkin mempunyai alasan tersendiri mengharamkan perbuatan itu dan akui hanya ulama tersebut yang tahu sebabnya.

“Jadi nasihat saya kepada orang ramai khususnya di negeri ini, jangan terlalu mudah sebarkan perkara yang pelik. Sebaliknya rujuk dulu pada mereka yang arif untuk mendapatkan penjelasan.

“Kalau tidak, dikhuatiri boleh mencetuskan kekeliruan, kerisauan dan pertikaian sampai memecahbelahkan masyarakat,” katanya.

Sementara itu, pendakwah dan Pengurus Imtiyaz Tarbiyyah Centre, Ustaz Nor Azman Mohamad pula berpendapat, Sheikh Saleh berkemungkinan merujuk kepada hukum asal yang melibatkan penciptaan gambar lukisan menyerupai makhluk bernyawa sebagai dalil pengharaman tersebut.

“Umat Islam diharamkan melukis gambar menyerupai makhluk bernyawa kerana pada zaman Nabi SAW, kebanyakan karya diagung-agungkan dan disembah. Barangkali Sheikh Saleh bersandarkan dalil ini secara zahiriah atau umum.

Bagaimanapun, katanya, berbeza dengan foto kerana ulama kontemporari mengharuskannya untuk tujuan tertentu mengikut kemaslahatan masyarakat selagi mana tidak bertentangan dengan hukum syarak misalnya bergambar untuk buat pasport.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.