PAS tak mahu jadi parti hanya tahu membangkang

PAS tak mahu jadi parti hanya tahu membangkang

Hadi berkata, PAS bersetuju meneruskan agenda kerjasama dengan mana-mana pihak, tetapi tidak akan menyertai BN.

hadi awang muktamar

PENGKALAN CHEPA:
PAS akan menggunakan pendekatan berbeza dalam usaha merampas tampuk pentadbiran negara.

Demikian tegas Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang pada ucapan dasarnya sempena Muktamar Tahunan PAS ke-62 di Pusat Tarbiah Islamiah Kelantan (PUTIK) hari ini.

Katanya, PAS tidak akan lagi menggunakan cara politik lama seperti yang diguna pakai parti politik lain, termasuklah Pakatan Harapan dan BN.

Ujar Hadi, PAS juga tidak mahu menjadi sebuah parti pembangkang yang hanya tahu membangkang kerana ada usaha parti pemerintah yang perlu disokong.

“Blok politik yang ada pada waktu sebelum ini kebanyakannya diwarnai dua warna – hitam dan putih sahaja, iaitu sama ada kerajaan atau pembangkang dengan budaya politik masing-masing.

“Kerajaan yang ada ini pula sifatnya senantiasa mempertahankan tindakan mereka, menolak peranan pembangkang dan kadangkala dengan kekerasan dan paksaan ke atas rakyat. Manakala blok pembangkang pula sentiasa membangkang apa sahaja agenda kerajaan yang memerintah, walaupun kadangkala di sana ada yang baik dilaksanakan.

“Politiking yang melampau dan kasar ini kadangkala menyebabkan rakyat tersepit, sehingga tidak lagi mempercayai janji politik sama ada dari pihak kerajaan atau pembangkang. Kita ingin keluar dari politik cara lama dan keterlaluan ini yang menyusahkan rakyat,” katanya yang disambut dengan laungan takbir.

Pendirian PAS itu selaras budaya politik matang dan sejahtera seiring pendirian Majlis Syura Ulama PAS.

PAS juga katanya, bersetuju meneruskan agenda kerjasama dengan mana-mana pihak dalam perkara yang mendatangkan kebaikan dan ketakwaan demi memperkukuhkan Islam, tetapi parti Islam itu tidak akan menyertai BN.

“Lapang dada dan bersikap terbuka untuk duduk semeja dengan semua pihak bagi membincangkan isu sejagat yang melibatkan kepentingan umat Islam, rakyat keseluruhan dan negara tercinta.

“Bersedia mengambil kebaikan dan menerimanya dengan baik, meskipun ia datang dari pihak pemerintah serta bersiap sebagai ‘government in waiting’. Berlaku adil terhadap semua meskipun terhadap lawan politik.

“Kita akan kerjasama dengan semua pihak, tetapi tidak akan masuk BN,” tegasnya.

Ini adalah muktamar pertama selepas ‘golongan profesional’ dibersihkan daripada parti Islam itu dan menubuhkan parti serpihan AMANAH.

PAS kini berwajah baru apabila ia diterajui golongan ulama dan kekuatannya bakal diterjemahkan menerusi muktamar tahun ini, sekaligus membuktikan kepada rakyat bahawa parti Islam itu mampu berdiri sendiri tanpa perlu bergabung dengan parti pembangkang lain dalam Pakatan Harapan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.