Namun ia pantas ditepis ketua pasukan Aidil Zafuan Abdul Razak serta Kim Swee yang masing-masing menganggapnya sebagai mengarut.
Malah, pengendali itu berkata persembahan cemerlang skuad negara yang bermain mengikut arahan, jelas membuktikan kesungguhan dan tahap disiplin yang tinggi.
“Saya tidak tahu siapa dan mengapa mereka mengatakan ini (protes senyap). Saya tidak tahu sama ada orang yang menyatakan demikian cuba melakukan sabotaj atau apa saja. Ia mengarut.
“Ini bukan isu bagi saya. Saya kenal pasukan saya dengan baik,” katanya kepada pemberita selepas perlawanan play-off pertama di Stadium Tan Sri Hassan Yunos di Larkin, di sini semalam.
Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai adanya laporan yang menyebut pemain negara berkemungkinan mengadakan protes senyap ke atasnya.
Memuji persembahan baik pemainnya semalam, Kim Swee berkata skuad kebangsaan harus diberikan lebih masa memandangkan ini satu pasukan yang baru dibentuk.
Aidil berkata pemain akan tetap memberikan komitmen 100% kepada pasukan setiap kali diturunkan tanpa mengira sama ada ketika menyarung jersi kebangsaan mahukan negeri dan kelab.
“Kemenangan ini permulaan yang baik untuk skuad negara dan bukti kerjasama mereka dalam mengikut arahan jurulatih,” kata Aidil sambil menambah kebanyakan strategi taktikal menjadi manakala barisan pertahanan negara cekap membaca pergerakan lawan.
Dua gol skuad negara disumbangkan penyerang Selangor Ahmad Hazwan Bakri pada minit ke-16 dan minit ke-21 manakala gol ketiga dihasilkan pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) Mohd Amri Yahyah pada minit ke-85.
Malaysia akan bertemu Timor Leste pada aksi timbal balik di Stadium Tan Sri Hassan Yunos Isnin ini untuk mengesahkan tempat ke saingan peringkat kumpulan Kelayakan Piala Asia 2019 yang bakal bermula 28 Mac 2017.
– BERNAMA
