Harimau Malaya jatuh 17 anak tangga ranking Fifa

Harimau Malaya jatuh 17 anak tangga ranking Fifa

Kejatuhan mendadak itu turut dipengaruhi keputusan AFC batal dua perlawanan dalam kempen kelayakan Piala Asia sebelum ini.

harimau malaya
Harimau Malaysia kini berada pada kedudukan ke-138 dunia dalam kemas kini terbaru Fifa. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Kedudukan Malaysia menjunam daripada tangga ke-121 ke tangga ke-138 dunia dalam ranking terbaru yang dikeluarkan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (Fifa).

Berdasarkan kemas kini hari ini, Harimau Malaya yang mengumpul 1,086.22 mata keseluruhan jatuh 17 anak tangga susulan kekalahan 1-3 kepada Vietnam dalam aksi terakhir Kumpulan F kelayakan Piala Asia 2027 semalam.

Kejatuhan mendadak itu turut dipengaruhi keputusan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) yang membatalkan dua perlawanan Harimau Malaya dalam kempen kelayakan berdepan Nepal dan Vietnam sebelum ini.

Berdasarkan keputusan asal, Malaysia menewaskan Nepal 2-0 di Stadium Sultan Ibrahim pada 25 Mac tahun lepas, selain membelasah Vietnam 4-0 di Stadium Nasional, Bukit Jalil, pada 10 Jun tahun lepas.

Bagaimanapun, pada 17 Mac lepas, Jawatankuasa Tatatertib dan Etika AFC memutuskan Malaysia diisytiharkan kalah 0-3 bagi kedua-dua perlawanan selepas Harimau Malaya didapati menurunkan pemain tidak layak.

Tindakan itu dibuat susulan isu pemalsuan dokumen membabitkan tujuh pemain Harimau Malaya, iaitu Gabriel Palmero, Facundo Garces, Rodrigo Holgado, Imanol Machuca, Joao Figueiredo, Jon Irazabal dan Hector Hevel.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.