Kewarganegaraan 7 pemain warisan ikut Perlembagaan, soal beraksi urusan Fifa, kata Saifuddin

Kewarganegaraan 7 pemain warisan ikut Perlembagaan, soal beraksi urusan Fifa, kata Saifuddin

Menteri dalam negeri menjelaskan pemberian kewarganegaraan pemain itu tidak wajar dipertikai kerana sudah mengikut tertib.

7 FAM Footballer
September lalu, tujuh pemain warisan iaitu Gabriel Palmero, Facundo Garces, Rodrigo Holgado, Hector Hevel, Jon Irazabal, Joao Figueiredo, Hector Hevel digantung 12 bulan oleh Fifa, sebelum CAS benar mereka beraksi semula.
PETALING JAYA:
Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail menegaskan pemberian kewarganegaraan tujuh pemain warisan Harimau Malaya sudah mengikut tertib dan selaras Perlembagaan Persekutuan.

Katanya, pemberian kerakyatan dan kelayakan mereka bermain untuk pasukan bola sepak kebangsaan dalam pertandingan anjuran Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (Fifa), adalah dua perkara berbeza.

Beliau berkata, status kewarganegaraan pemain terbabit tidak wajar dipertikaikan kerana kerajaan menggunakan Perkara 19 Perlembagaan Persekutuan bagi urusan kewarganegaraan.

“Pertama ialah proses pemberian kewarganegaraan dan kedua ialah kelayakan pemain untuk bermain bagi pasukan Malaysia dalam pertandingan Fifa.

“Jadi apabila proses itu kita lakukan, pemberian kewarganegaraan adalah mengikut tertib yang ditentukan serta mematuhi Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang lain yang berkaitan. Itu tidak ada isu.

“Apakah status kewarganegaraan itu telah melalui semua kepatuhan yang dikehendaki mengikut Perlembagaan Persekutuan? Jawapannya ya,” katanya memetik laporan Kosmo.

September lalu, tujuh pemain warisan iaitu Gabriel Palmero, Facundo Garces, Rodrigo Holgado, Hector Hevel, Jon Irazabal, Joao Figueiredo, Hector Hevel digantung 12 bulan oleh Fifa susulan isu pemalsuan dokumen.

Pada 26 Jan lalu, Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) membenarkan tujuh pemain warisan itu beraksi semula, tetapi menolak rayuan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) terhadap denda CHF350,000 yang disifatkannya wajar dan seimbang.

CAS mengekalkan penemuan Fifa bahawa dokumen itu telah dipalsukan, tetapi pemain tidak bertindak cuai atau dengan niat.

Saifuddin mengulas kenyataan Perdana Menteri Anwar Ibrahim yang memaklumkan FAM perlu membincangkan dan meneliti terlebih dahulu tuntutan supaya kerakyatan tujuh pemain warisan itu ditarik balik.

Perdana menteri menegaskan, perkara itu perlu melalui saluran sewajarnya termasuk penelitian pihak berkaitan sebelum sebarang keputusan dibuat oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengikut prosedur biasa.

Dalam pada itu, Saifuddin berkata, soal kelayakan pemain untuk beraksi bersama skuad Harimau Malaya berada di bawah bidang kuasa badan induk bola sepak dunia itu, bukan lagi urusan kerajaan.

“Perkara itu tidak menjadi urusan kerajaan lagi. Kerajaan cuma memudah cara dari segi permohonan kewarganegaraan. Soal kelayakan bermain itu tanggungjawab Fifa. Itu yang saya faham daripada kenyataan perdana menteri di Seremban,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.