
Ketua Setiausahanya Saifuddin Nasution Ismail berkata konvensyen berkenaan sudah dirancang berbulan-bulan lebih awal sebagai persediaan menghadapi PRN.
Menurutnya, Rafizi bebas membuat sebarang pengumuman bersama Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad, selaras dengan prinsip demokrasi negara.
“Rafizi dan rakan-rakannya bebas membuat apa sahaja pengumuman. Negara ini mengamalkan demokrasi yang menjamin kebebasan berpersatuan dan berhimpun.
“Jika tarikhnya bertembung secara kebetulan, saya tidak melihat ia sebagai satu cubaan sabotaj,” katanya lapor Utusan Malaysia.
Saifuddin yang juga menteri dalam negeri menegaskan kekuatan PH tidak akan terjejas dengan tindakan Rafizi, malah gabungan itu akan tetap fokus kepada agenda sedia ada.
“Kita lihat sahaja mobilisasi kekuatan PH nanti. Takkanlah gabungan ini boleh terkesan hanya dengan satu pengumuman daripada Rafizi.
“Saya ucapkan selamat maju jaya kepada sahabat saya jika itu laluan pilihannya. PH pula akan terus memfokuskan gerak kerja yang telah diatur,” katanya.
Rafizi dan Nik Nazmi meletakkan jawatan sebagai menteri Kabinet pada Mei tahun lalu selepas masing-masing tewas dalam perebutan jawatan timbalan presiden dan naib presiden PKR.
Kelmarin, Rafizi berkata mereka sudah meneliti pelbagai pandangan dan faktor sebelum menentukan fasa seterusnya perjalanan politik masing-masing.
Nik Nazmi pula dalam kenyataan berasingan berkata rakyat Malaysia memerlukan politik yang progresif, sederhana dan benar-benar berpaksikan rakyat.