Pakai kasut papa, kempen untuk mama

Pakai kasut papa, kempen untuk mama

Anak sulung calon BN di PRK Kuala Kangsar mengimbas kenangan ketika penamaan calon bapanya pada PRU13 dulu.

wn-emir

KUALA KANGSAR:
Wan Emir Astar, anak sulung kepada calon BN di PRK Kuala Kangsar, Datin Mastura Mohd Yazid dan bekas ahli Parlimen kawasan itu, allahyarham Datuk Wan Mohammad Khair-il Annuar memakai kasut arwah bapanya ketika ke pusat penamaan calon, mewakili ibunya pagi ini.

Lengkap berbaju Melayu biru, Wan Emir, 26, bersama tiga lagi adik lelakinya Wan Imar Izzat, Wan Iskandar dan Wan Muhammad Ammar hadir ke Dewan Jubli Perak, di sini untuk menghantar borang pencalonan ibunya dengan perasaan yang berbaur.

“Saya memakai kasut arwah papa hari ini untuk membawa semangat beliau.

“Bezanya hari ini, ibu yang menjadi calon. Ia mengimbas kenangan ketika penamaan calon papa pada PRU13 dulu.

“Seperti ibu katakan pada saya, ibu hanya membawa jasadnya tetapi dia membawa ‘roh’ arwah papa, begitu juga kami membawa semangat papa hari ini,” katanya kepada Bernama.

Wan Emir berkata tarikh 5 hari bulan kini menjadi amat signifikan bagi keluarga kerana bapanya meninggal dunia dan ibunya dinamakan sebagai calon pada tarikh itu.

“Tarikh 5 Jun menjadi signifikan kepada kami. Saya hingga lupa hari jadi saya ke-26 pada 3 Jun lepas kerana terlalu memikirkan tarikh hari ini (5 hari bulan). Perasaan sedih… tetapi juga gembira kerana ibu diberi peluang untuk menyambung perjuangan ayah di Kuala Kangsar ini,” katanya.

Wan Emir Astar berkata, beliau dan adiknya bersedia “berkongsi’ ibu mereka dengan masyarakat sekiranya memenangi kerusi itu pada PRK 18 Jun ini.

Allahyarham Datuk Wan Mohammad Khair-il yang menjadi ahli Parlimen Kuala Kangsar sejak PRU13 maut dalam nahas helikopter di Sebuyau, Sarawak pada awal Mei lalu.

BN kemudian menamakan balunya sebagai calon parti itu dalam pertandingan empat penjuru menentang PAS, AMANAH dan calon Bebas.

SPR menetapkan hari mengundi pada 18 Jun depan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.