Parlimen Sungai Besar mempunyai 13,094 pengundi Cina daripada keseluruhan 42,655 jumlah pemilih berdaftar dengan majoriti tertumpu di kawasan DUN Sekinchan iaitu 9,139 pengundi.
Pengundi, Ng Boon Keong, kawasan itu sememangnya menikmati perubahan dan pembangunan namun apa yang penting adalah pemimpin yang menepati janji dan bertanggungjawab.
“Saya sebenarnya tak kisah sangat siapa yang bertanding tetapi saya inginkan calon dipilih merupakan orang yang boleh pegang amanah, bertanggungjawab dan tepati janji. Soal lain-lain akan difikirkan lagi,” katanya.
Terdapat dua DUN di bawah Parlimen Sungai Besai Besar, iaitu Sekinchan diwakili Ng Suee Lim daripada DAP dan Sungai Panjang diwakili Budiman Mohd Zohdi daripada Barisan Nasional (BN), yang kali ini diletakkan sebagai calon bagi mempertahankan kerusi Parlimen Sungai Besar.
Seorang lagi pengundi, Chang Kai Ming, 25, pula percaya generasi pengundi muda sepertinya akan berhati-hati memilih calon terbaik dan benar-benar mampu membuat kerja untuk rakyat dalam kawasan yang ditanding itu.
“Sekarang ini kita hanya akan mengundi calon yang didapati mampu memberikan ‘peluang’ terbaik kepada masyarakat di kawasan ini. Tidak kisahlah sama ada calon itu Melayu, Cina atau India yang bertanding.
“Kami tidak mahu calon yang jenis bila dia sudah menang, kemudian sudah lupa janji apa yang mereka umumkan sebelum ini,” katanya.
Menurut statistik, majoriti pengundi di Parlimen Sungai Besar terdiri daripada mereka yang berumur 30-39 tahun iaitu 25.11 peratus daripada 42,655 jumlah pemilih diikuti 40-49 tahun (21.91 peratus) dan 21-29 tahun (16.01 peratus).
Sementara itu, Ketua Pemuda MCA Senator Chong Sin Woon selaku pengarah Jawatankuasa PRK MCA bagi Parlimen Sungai Besar, tidak menolak sokongan Cina mungkin menjadi ‘penentu’ di PRK Parlimen itu.
Beliau berkata ketika ini terdapat hampir 6,000 pengundi baharu di kawasan itu yang mampu melonjakkan penambahan majoriti kemenangan jika BN kekal memenangi kawasan itu.
“Bagi MCA, kita menyedari peranan akan kepentingan pengundi muda terutama dalam kalangan masyarakat Cina dan kita mempunyai beberapa pendekatan dan program dalam terus mendekati dan meraih undi mereka,” katanya.
Katanya, hasil soal selidik dilakukan pihaknya mendapati pengundi di kawasan itu mahu calon yang dilihat merendah rendah diri dan tidak terlalu berlebihan ketika berkempen.
Ditanya mengenai penerimaan calon BN, Budiman dalam di kalangan masyarakat Cina, Chong berkata ketika ini calon berusia 44 tahun itu disenangi penyokong berbangsa Cina dengan menerima maklum balas yang positif.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan PRK Sungai Besar akan diadakan serentak dengan PRK Kuala Kangsar di Perak pada 18 Jun depan, manakala penamaan calon hari ini.
Kedua-dua PRK itu perlu diadakan berikutan kematian penyandangnya Datuk Noriah Kasnon yang juga Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi dan Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad yang terkorban dalam nahas helikopter di Sebuyau Sarawak, pada 5 Mei lepas.
— BERNAMA
