Gara-gara tak puas hati, Abu Backer tarik diri

Gara-gara tak puas hati, Abu Backer tarik diri

Abu Backer Sidek dilaporkan menepuk meja dan mengoyak kertas pencalonan sebelum menarik diri sebagai calon Bebas di PRK Kuala Kangsar.

Abu-Backer

PETALING JAYA:
PRK Kuala Kangsar mungkin menyaksikan pertandingan lima penjuru, jika Datuk Abu Backer Sidek Mohd Zan tidak menarik diri sebagai calon Bebas pada saat-saat akhir semalam.

Beliau pernah mencuri tumpuan media pada PRK Bukit Gelugor pada Mei 2014 dengan pelbagai gimik dan kontroversi, termasuk aksi “merempuh” serta berbaring di hadapan kereta Mercedes-Benz Lim Guan Eng, selain hampir menarik diri kerana merajuk dengan media tempatan yang didakwa tidak memberi liputan kepadanya.

Semalam, gara-gara tidak berpuas hati dengan pegawai pilihan raya yang didakwanya tidak ramah, Abu Backer Sidek bertindak mengoyak kertas pencalonan sebelum menarik diri sebagai calon Bebas di PRK Kuala Kangsar.

Menurut laporan China Press, beliau yang baru pulang daripada menunaikan umrah di Tanah Suci hadir di pusat penamaan calon, Dewan Jubli Perak bersama seorang pencadang dan penyokong kira-kira jam 9 pagi semalam.

Beliau bagaimanapun terpaksa memasuki dewan seorang diri, selepas pegawai bertugas menghalang pencadang dan penyokongnya memasuki dewan itu.

Mengikut laporan Astro Awani pula, Abu Backer Sidek dikatakan bertindak menepuk meja pendaftaran pencalonan sebelum berdiri, ketika menyerahkan borang pencalonan di hadapan Pegawai Pengurus Pilihan Raya PRK Kuala Kangsar, Mior Muhammad Jamil Mior Zakaria.

“Saya pun ada maruah,” katanya dengan nada tinggi yang mengejutkan hadirin dalam dewan itu.

Beliau bagaimanapun bersalaman dengan Mior Muhammad Jamil beberapa saat kemudian.

Kira-kira jam 10 pagi, Abu Backer Sidek keluar dari dewan dan memaklumkan beliau menarik diri kerana tidak berpuas hati dengan tindakan menghalang pencadang serta penyokongnya memasuki dewan dan sikap pegawai pilihan raya yang tidak ramah.

PRK Kuala Kangsar menyaksikan pertandingan empat penjuru antara Datin Mastura Mohd Yazid daripada BN; Ketua Dewan Muslimat PAS Perak, Dr Najihatussalehah Ahmad; Naib Ketua AMANAH kawasan Kuala Kangsar, Prof Dr Ahmad Termizi Ramli dan calon Bebas, Izat Bukhary Ismail Bukhary.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.