Saya bersalah kepada MCA – EXCO Kedah

Saya bersalah kepada MCA – EXCO Kedah

Leong Yong Kong memohon maaf kerana menjadikan MCA sebagai tempat melepaskan geram bagi melaksanakan strateginya.

Leong-Yong-Kong

PETALING JAYA:
Satu-satunya EXCO MCA di Kedah, Datuk Dr Leong Yong Kong julung kali memohon maaf kepada parti itu semalam atas tindakannya menarik balik keputusan keluar daripada parti.

China Press memetik Yong Kong sebagai berkata, beliau menjadikan MCA sebagai tempat melepaskan geram bagi melaksanakan strateginya.

“Saya tahu kali ini saya umum keluar parti telah menimbulkan rasa tidak puas hati banyak pihak yang tidak faham kenapa saya tidak mematuhi semangat MCA,” katanya dalam satu majlis di Alor Setar, semalam.

Timbalan Pengerusi MCA Kedah itu berkata, beliau membuat keputusan terburu-buru itu demi melaksanakan strateginya dan jika tidak berbuat demikian beliau tidak akan mendapat reaksi begitu besar.

“Jika tidak kerana itu (pengumuman keluar parti), saya tidak akan dihubungi orang tertinggi yang membuat keputusan di negara ini dan memberi jaminan tidak akan melanggar Perlembagaan Persekutuan,” katanya yang dilaporkan akhbar berbahasa Cina itu.

Tegasnya, akta jenayah di negara ini tidak boleh dibahagikan kepada dua jenis kerana akhirnya ia akan mencetuskan perbalahan.

Pada 27 Mei lalu, Yong Kong mengumumkan keluar daripada MCA sebagai bantahan terhadap pembentangan Rang Undang-undang (RUU) Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan 2010) di Dewan Rakyat sehari sebelumnya.

Rabu lalu, beliau memutuskan untuk kembali kepada parti itu selepas menyaksikan komitmen yang ditunjukkan pucuk pimpinan MCA dan parti komponen BN lain menentang RUU Persendirian itu.

Sementara itu, ADUN Gurun itu berpendapat, pemimpin UMNO sekarang tidak sama dengan pemimpin UMNO dahulu yang berjuang demi rakyat dan negara.

“Kebanyakan mereka dilahirkan dengan sudu emas, sudah biasa hidup senang (jadi) pemimpin hari ini lebih mengutamakan kepentingan diri berbanding negara,” katanya.

Pada masa sama, beliau yang mengakui wujud masalah rasuah di negara ini menasihatkan rakyat supaya tidak lagi diperdaya DAP kerana amalan rasuah memang wujud di setiap negara.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.