Tingkat akses pendidikan, tahap ekonomi penduduk fokus Budiman

Tingkat akses pendidikan, tahap ekonomi penduduk fokus Budiman

Budiman juga berjanji akan menjadi orang tengah antara kerajaan dan rakyat dalam menyelesaikan segala permasalahan berbangkit di kawasan Parlimen Sungai Besar.

Budiman-Mohd-Zohdi

SUNGAI BESAR:
Meningkatkan akses terhadap pendidikan dan tahap ekonomi penduduk adalah dua fokus utama calon BN bagi PRK Sungai Besar, Budiman Mohd Zohdi.

Budiman, 44, mengakui dua faktor itu mampu menjadi pemangkin kepada pembangunan Parlimen Sungai Besar dalam cara tersendiri.

Beliau berkata, kawasan Parlimen itu kaya dengan pemandangan sawah padi menghijau serta suasana kampung yang menjadi tarikan kepada pelancong dari dalam dan luar negara.

“Kita di Sungai Besar tidak memerlukan gedung membeli-belah yang besar, kita tidak mahu mengubah landskap, biarlah suasana kampung ini dikekalkan.

“Tetapi kita mahu penduduk mempunyai ilmu yang tinggi sekali gus dapat berfikir untuk menjana pendapatan daripada sumber sedia ada,” katanya kepada Bernama.

Sebagai contoh katanya, tanaman seperti ubi kayu dan kelapa boleh ditambah nilai dan dijadikan produk komersial untuk dipasarkan dari dalam dan luar negara.

Bagi mencapai hasrat itu, katanya, beliau akan memastikan infrastruktur pendidikan dibangunkan dengan lebih rancak di kawasan Sungai Besar, jika BN terus diberikan mandat oleh rakyat.

Budiman juga berjanji akan menjadi orang tengah antara kerajaan dan rakyat dalam menyelesaikan segala permasalahan berbangkit dalam kawasan Parlimen itu.

“Saya lahir di sini, bersekolah di sini, malah uri saya juga ditanam di sini, jadi saya mampu menyelami denyut nadi orang di sini,” katanya.

Budiman yang juga ADUN Sungai Panjang berkata, pengundi di Parlimen itu boleh menilai usaha dilakukannya dalam menyelesaikan masalah penduduk sepanjang tiga tahun beliau menjadi wakil rakyat.

“Politik adalah tentang memberi perkhidmatan dan alhamdulillah rakyat termasuk kaum Cina dan India memberi maklum balas yang positif terhadap khidmat yang saya berikan selama ini.

“Jadi rakyat mempunyai pilihan sama ada memilih orang yang telah mempunyai ‘track record’ atau memilih orang luar yang datang sebagai calon payung terjun,” katanya sambil melahirkan keyakinan BN akan menang dengan majoriti besar dalam PRK itu.

Malah Budiman berkata, UMNO Bahagian Sungai Besar berada dalam perpaduan dan kesiapsiagaan yang tinggi bagi memastikan BN mencapai kemenangan pada hari pengundian 18 Jun ini.

Beliau turut menolak desas-desus kepimpinan UMNO bahagian itu tidak berpuas hati dengan pemilihannya sebagai calon BN.

“Kalau tidak dipilih kepimpinan tempatan, mana boleh saya dicalonkan…ini bukan mengenai kejayaan peribadi tetapi kejayaan BN yang lebih penting dalam merampas kembali negeri Selangor daripada Pakatan Harapan,” katanya.

Kerusi Parlimen Sungai Besar kosong berikutan kematian penyandangnya, Tan Sri Noriah Kasnon yang juga Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi dalam nahas helikopter di Sebuyau, Sarawak, 5 Mei lepas.

– BERNAMA 

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.