Dua mangsa pedofilia Richard Huckle ditemui

huckle

KUALA LUMPUR: Dua daripada 23 kanak-kanak di negara ini yang dipercayai menjadi mangsa jenayah seksual pedofilia warga Britian, Richard Huckle berjaya dikesan.

Kedua-duanya yang identiti dirahsiakan difahamkan berada di ibu negara dan kini diberi rawatan psikologi susulan kes berkenaan, lapor Utusan Malaysia.

Akhbar itu memetik sumber sebagai berkata kedua-dua mangsa berjaya dikesan hasil kerjasama polis dan beberapa agensi.

Sumber itu berkata masih belum diketahui sama ada keterangan mangsa sudah diambil atau belum kerana mereka masih dirawat.

Polis merahsiakan maklumat kedua-dua mangsa mengikut Seksyen 15 Akta Kanak-kanak.

“Polis akan meneruskan usaha untuk menjejak mangsa-mangsa yang lain bagi membantu mereka menjalani kehidupan seperti biasa,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Noor Rashid Ibrahim mengesahkan perkara itu tetapi enggan mengulas lanjut.

Semalam, Richard, 30, dijatuhi hukuman penjara seumur hidup selepas didapati bersalah terhadap 71 pertuduhan berkaitan penderaan seksual terhadap kanak-kanak di Malaysia.

Hakim Mahkamah Old Bailey Peter Rook menjatuhi hukuman itu terhadap Huckle selepas lelaki dari Ashford, Kent itu mengaku mendera semua mangsa yang berusia antara enam bulan hingga 12 tahun.

Dia ditahan di Lapangan Terbang Gatwick pada Disember 2014 ketika pulang dari Malaysia untuk bercuti sempena Krismas.