Tok Him berang, persoal Nawawi sekolah mana

Tok Him berang, persoal Nawawi sekolah mana

Nampaknya Ahli Parlimen Langkawi tak faham konsep percukaian, kata Presiden PERKASA

ibrahim-ali-nawawi

KUALA LUMPUR:
Presiden PERKASA berang apabila seorang ahli Parlimen Malaysia kelihatan tidak faham konsep percukaian.

“Cuba periksa Ahli Parlimen Langkawi tu sekolah mana?” soal Datuk Ibrahim Ali apabila diberitahu kisah perdebatan antara Datuk Nawawi Ahmad dan rakannya yang kini bertukar viral.

Melalui tangkap layar perdebatan itu, Nawawi dikesan berkata bukan rakyat yang membayar gajinya kerana selepas bertukar tangan duit kerajaan bukan lagi duit rakyat.

“Nampaknya dia tidak faham konsep percukaian,” sambungnya, di sidang media di ibu pejabat PERKASA petang tadi.

Ibrahim seterusnya menjelaskan bahawa salah satu sumber hasil kerajaan adalah cukai pelbagai bentuk yang dikenakan keatas rakyat.

“Kalau nak menganggapkan bila rakyat bayar pada kerajaan, duit itu bukan lagi hak rakyat tetapi hak kerajaan, boleh atau tidak kita tidak mahu bayar cukai?

“Dia (Nawawi) pula ambil duit kerajaan, terima gaji daripada kerajaan, duit itu untuk apa? Apa tugasnya (sebagai wakil rakyat)?” tegas Ibrahim, seolah-olah mahu menyekolahkan ahli politik 55 tahun itu.

Nawawi sebelum ini menjadi perbualan ramai dengan tindakannya menyiarkan gambar ngeri mendiang Karpal Singh yang terbabit dalam kemalangan jalanraya, bersama keratan akhbar “Mahu wujudkan negara Islam langkah mayat kami dulu”.

Beliau kemudian menurunkan muatnaik itu dengan memohon maaf kerana tidak sensitif pada kesedihan keluarga Karpal dan penyokong ahli politik pembangkang itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.