Hudud popular kerana arus kesedaran Islam – Nik Abduh

Hudud popular kerana arus kesedaran Islam – Nik Abduh

Ketua Pemuda PAS itu berkata arus kesedaran Islam di kalangan rakyat memaksa kerajaan menyokong hudud.

nik abduh

PETALING JAYA:
Ketua Pemuda PAS Nik Mohamad Abduh Nik Aziz mengalu-alukan undian Twitter yang dijalankan aktivis pelajar Syed Saddiq Abdul Rahman yang mendapati lebih 80% menyokong pelaksanaan hudud, dan berkata ia mencerminkan arus kesedaran Islam semakin kuat.

“Arus inilah yang menjadi punca kerajaan BN akhirnya bersetuju meminda akta 355 yang bertujuan meningkatkan bidang kuasa mahkamah syariah,” tulis Nik Abduh dalam Facebook.

Bulan lalu, Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang membentangkan rang undang-undang (RUU) persendirian bagi meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965, yang membolehkan mahkamah syariah menjatuhkan hukuman melebihi apa yang dihadkan sebelumnya iaitu penjara tiga tahun, denda tidak melebihi RM5,000 dan enam sebatan, atau biasa dikenali sebagai “akta 355”.

Langkah itu menerima sokongan pemimpin Umno, membolehkan RUU Hadi itu didahulukan walaupun pada awalnya disenaraikan sebagai agenda terakhir dalam Dewan Rakyat.

Dalam tinjauan yang dibuat Syed Saddiq, 83% daripada 22,304 orang mengundi “Ya” sebagai persetujuan hudud dilaksanakan.

Bagaimanapun, juara debat antara universiti itu merasakan ramai yang tidak arif mengenai hudud.

“Saya bimbang dengan keputusan itu kerana sebahagian besar orang yang memberi komen di ruangan komen di Twitter saya menyokong hudud dan mengatakan bahawa undang-undang ini adalah baik untuk memerangi rasuah,” beliau dilaporkan berkata.

Bagi Nik Abduh, “arus kesedaran Islam” paling ketara di kalangan penjawat awam dan ilmuan.

“Merekalah sebenarnya yang berjaya meyakinkan orang-orang politik tentang tuntutan dan keperluan sistem Islam diperkasakan di dalam pentadbiran kerajaan dan masyarakat,” katanya.

Beliau melahirkan keyakinan ia akan akhirnya merealisasikan “kerajaan yang adil, bersih, cekap dan berintegriti”.

Nik Abduh berkata arus kesedaran Islam di kalangan rakyat “menakutkan musuh”.

“Jangan terleka daripada sejarah gemilang Islam di tanah air tercinta dengan tipudaya dan makar pihak yang memusuhi Islam.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.