PAS mungkin beri isyarat PN wadah utama pembangkang, bukan IPR

PAS mungkin beri isyarat PN wadah utama pembangkang, bukan IPR

Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan tak hadir mesyuarat persiapan konvensyen Ikatan Prihatin Rakyat dipengerusikan Azmin Ali daripada Bersatu.

Setiausaha Agung Bersatu Azmin Ali mempengerusikan mesyuarat persiapan konvensyen Ikatan Prihatin Rakyat Khamis lalu. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
PAS mungkin memberi isyarat Perikatan Nasional (PN) kekal sebagai wadah utama pembangkang susulan ketidakhadiran dalam mesyuarat persiapan konvensyen Ikatan Prihatin Rakyat (IPR), kata penganalisis.

Syaza Shukri dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) berkata, langkah itu juga dilihat bertujuan mengelakkan persepsi wujud dua pusat kepimpinan dalam blok pembangkang yang dianggotai parti komponen hampir sama.

“PAS sebagai parti pembangkang terbesar, sememangnya jika parti itu tidak menyertai IPR, keadaan akan kelihatan agak janggal memandangkan IPR disebut sebagai gabungan blok luar kerajaan.

“Untuk mengatakan ia menjejaskan kredibiliti, andaian itu bergantung kepada persepsi jika IPR sendiri sudah mempunyai kredibiliti yang kukuh.

“Buat masa ini, saya melihat ramai masih tertanya-tanya dan belum pasti tentang hubungan sebenar antara IPR dengan PN dan keadaan itu sendiri sudah memberi kesan kepada persepsi terhadap kredibiliti IPR,” katanya kepada FMT.

Khamis lalu, Setiausaha Agung Bersatu Azmin Ali mempengerusikan mesyuarat itu tanpa kehadiran wakil PAS iaitu Setiausaha Agung Takiyuddin Hassan.

Azmin berkata, perbincangan bersama setiausaha agung dan wakil parti IPR antara lain bagi mendapatkan pandangan dan input diperhalusi membabitkan isu rakyat termasuk ekonomi, politik, keselamatan dan memperkukuh hubungan kaum dan budaya untuk dibahaskan dalam konvensyen Jun ini.

Syaza berkata, ketidakhadiran PAS juga boleh ditafsir dalam konteks IPR yang dilihat lebih rapat dengan kem Muhyiddin Yassin dan Azmin, berpotensi dianggap sebagai cabaran langsung kepada dominasi PN.

“Sekarang PAS pengerusi PN. Mungkin IPR diketuai Bersatu dilihat sebagai cabaran kepada PN.

“Sebelum ini, PAS sertai mesyuarat sebab masa itu Muhyiddin masih pengerusi PN. Namun, sekarang keadaan itu menampakkan seolah-olah wujud dua ketua dalam blok pembangkang sedangkan parti komponen masih lebih kurang sama,” katanya.

Sementara itu, Mazlan Ali dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) berkata, PAS ketika ini memberi isyarat ia lebih selesa dengan naratif politik Melayu-Islam berbanding pendekatan luas cuba dibawa IPR.

Katanya, ketidakhadiran PAS bukan perkara baru kerana ia juga beberapa kali tidak hadir pertemuan melibatkan parti bukan Melayu dalam IPR sebelum ini, sekali gus mencerminkan minat yang tidak begitu mendalam terhadap inisiatif tersebut.

“Kita jangka konvensyen ini akan hambar tanpa PAS kerana parti dalam IPR adalah parti kecil yang tidak memberi impak kepada politik Malaysia walaupun inisiatif Muhyiddin bagus, untuk bawa impak sokongan bukan Melayu kepada PN,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.