“Kami bukan pemfitnah di alam maya,” kata Pengerusi Biro Teknologi Maklumat UMNO Datuk Ahmad Maslan.
Mengulas mengenai pelbagai dakwaan berunsur fitnah di laman sosial terhadap calon BN Datin Mastura Mohd Yazid dalam kempen PRK Kuala Kangsar, Ahmad berkata pihak terbabit jelas tidak beretika dalam kempen mereka.
“Kita seharusnya berkempen dengan cara yang berhemah dan memberitahu perkara sebenar, bukannya memfitnah.
“Tambahan pula dalam bulan Ramadan yang mulia ini, kita tidak harus menyebarkan berita palsu atau cerita yang ditokok tambah untuk meraih undi,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat khas biro itu di Resort Safari Sungai Perak, di sini, hari ini.
BN mengerakkan Kempen Media Sosial menerusi aplikasi Facebook, WhatsApp, Telegram dan Twitter bagi PRK Parlimen Kuala Kangsar dan Parlimen Sungai Besar, Selangor.
Kempen itu menyasarkan pengundi muda di kedua-dua kawasan.
“Ketika berkempen, perkara yang baik, benar harus diberitahu dan apabila menyebarkan perkara sebenar kepada rakyat maka itu sudah memadai dan mencukupi untuk memenangi hati rakyat,” katanya.
Berdasarkan respons kempen biro itu di media sosial, Ahmad berkata pihaknya menerima maklum balas positif dalam kalangan golongan sasaran.
PRK Kuala Kangsar dan Sungai Besar diadakan berikutan kematian penyandang kawasan berkenaan, Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad dan Tan Sri Noriah Kasnon yang terkorban dalam nahas helikopter di Sebuyau, Sarawak pada 5 Mei lepas.
PRK Kuala Kangsar menyaksikan pertandingan empat penjuru antara calon BN, PAS, AMANAH dan Bebas, manakala di Sungai Besar menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara BN, PAS dan AMANAH.
Pengundian kedua-dua PRK itu didakan pada 18 Jun ini.
— BERNAMA
