KPN: Malaysia minta kebenaran jumpa Richard Huckle

KPN: Malaysia minta kebenaran jumpa Richard Huckle

Polis Malaysia berharap dapat menyiasat Richard Huckle bagi membolehkan mangsanya yang lain dikenal pasti.

Khalid-Huckel

KUALA LUMPUR:
Malaysia berharap dapat menyiasat sendiri Richard Huckle secara bersemuka, kata Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar hari ini.

Dalam langkah mengumpul maklumat berhubung kes penderaan seksual terhadap 23 kanak-kanak Malaysia oleh pedofilia itu, Khalid berkata beliau berharap polis British akan memberikan kerjasama dengan polis Malaysia.

“Kita akan mohon kebenaran untuk berjumpa dan temu bual Richard di penjara. Kita harap polis British tidak akan teragak-agak berkongsi bukti jenayah seksual yang dilakukan pesalah berkenaan terhadap mangsa rakyat Malaysia.

“Buat masa ini, kita sudah kenal pasti dua daripada mangsa itu. Kita akan meneruskan kerjasama dengan pihak berkuasa British supaya kita boleh terus mengenal pasti mangsa lain,” katanya pada sidang media hari ini.

Khalid berkata polis gagal mengambil tindakan lanjut ketika kes itu mula timbul pada 2014 kerana maklumat yang tidak mencukupi pada masa itu.

Katanya, polis British tidak meminta bantuan polis Malaysia ketika mereka berada di negara ini untuk menemu bual mangsa.

Richard dijatuhi hukuman penjara 23 tahun selepas didapati bersalah melakukan jenayah terhadap kanak-kanak berusia antara enam bulan hingga 11 tahun.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.