
Ketua Polis Negara, Khalid Ismail, memaklumkan Jabatan Peguam Negara (AGC) mengarahkan tiga jurulatih yang juga pegawai tentera itu dituduh di bawah Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan, dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama.
“Pertuduhan akan dibuat di Mahkamah Sesyen Kota Tinggi, Johor, pagi ini,” katanya dalam kenyataan.
Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan ialah kesalahan mematikan orang dengan salah yang tidak terjumlah kepada kesalahan membunuh orang. Ia memperuntukkan hukuman penjara sehingga 30 tahun dan denda.
Syamsul, 22, dilaporkan meninggal dunia pada 28 Julai 2025 dalam keadaan tidak jelas ketika menjalani latihan di Lapang Sasar Imunisasi Tempur, Pusat Latihan Tempur Tentera Darat di Ulu Tiram, Johor.
Beliau dilaporkan mengalami sawan sebelum meninggal dunia, tetapi ibunya mendakwa tubuh Syamsul mempunyai kesan lebam dan kecederaan lebih konsisten dengan serangan fizikal, bukannya akibat sawan.
Pada 26 Ogos lalu, Mahkamah Tinggi Shah Alam mengarahkan jenazah pelatih Palapes Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Skudai itu digali semula untuk bedah siasat kedua susulan permohonan ibunya.
Bedah siasat kedua mengesahkan punca kematian Syamsul akibat kecederaan traumatik di bahagian leher, berdasarkan dapatan pakar forensik, Dr Siew Sheue Feng.
Susulan itu, AGC pada 2 Dis lalu mengarahkan kes kematian Syamsul diklasifikasi bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan untuk siasatan lanjut polis.