Pegawai tentera mabuk dalam nahas di MEX berdepan 3 tuduhan esok

Pegawai tentera mabuk dalam nahas di MEX berdepan 3 tuduhan esok

Selain pertuduhan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kematian, suspek akan didakwa atas dua tuduhan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Mabuk crash MEX Highway
Seorang lelaki warga Bangladesh berusia 22 tahun maut, manakala empat lagi individu termasuk pemandu e-panggilan cedera selepas dua kenderaan bertembung dalam kemalangan di MEX. (Gambar PDRM)
PETALING JAYA:
Pegawai tentera disyaki memandu di bawah pengaruh alkohol dan menyebabkan kemalangan maut di Lebuhraya Maju Expressway (MEX) yang akan didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, turut berdepan dua pertuduhan lain, esok.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Mohd Zamzuri Mohd Isa, berkata suspek berusia 31 tahun itu akan dituduh di dua mahkamah berasingan.

Katanya, suspek akan didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan di Mahkamah Sesyen Jenayah Jalan Duta kerana menyebabkan kematian.

“Dia juga akan dituduh mengikut Seksyen 44(1A)(b) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 kerana memandu kenderaan di jalan awam dengan kadar alkohol dalam badan yang tinggi dan menyebabkan kecederaan kepada penumpang kenderaan e-panggilan.

“Suspek juga akan didakwa mengikut seksyen sama kerana menyebabkan kecederaan kepada pemandu kenderaan e-panggilan. Dua pertuduhan mengikut Seksyen 44(1A) APJ 1987 itu akan dibuat jam di Mahkamah Trafik Jalan Duta di sini,” katanya dalam kenyataan, menurut Harian Metro.

Zamzuri berkata arahan itu diperolehi pihaknya selepas merujuk kertas siasatan kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) Putrajaya, hari ini.

Dalam kejadian itu, lelaki warga Bangladesh berusia 22 tahun maut, manakala empat lagi individu termasuk pemandu e-panggilan cedera selepas dua kenderaan bertembung.

Hasil ujian alat pernafasan ke atas suspek yang memandu kereta jenis Ford Fiesta menunjukkan bacaan alkohol yang melebihi had dibenarkan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.