Bekas perdana menteri itu berkata seperti biasa menjelang bulan puasa beliau ke bazar Ramadan untuk membeli aneka jenis masakan yang hanya terdapat pada bulan puasa.
“Hari pertama saya ke bazar di Putrajaya. Lokasi bazar dipindah tetapi pelanggan ramai seperti biasa.
“Hari kedua saya ke Kampung Baru. Saya kagum dan gembira kerana pihak berkuasa sudah mendirikan bumbung untuk melindungi gerai daripada hujan dan panas.
“Kain berwarna-warni menghiaskan siling yang juga mengurangkan panas matahari.
“Tanpa dirancang saya bertemu dengan pegawai yang bertanggungjawab menghiaskan bazar Ramadan Kampung Baru dan saya ucap tahniah kepadanya. Katanya tahun depan keselesaan dan keindahan pasar itu akan diperbaiki lagi. Sekali lagi saya ucap tahniah kepadanya,” tulisnya.
Ketika hendak masuk ke dalam kereta, Mahathir berkata pegawai berkenaan memberitahunya dia gembira kerana negarawan itu tidak akan ke Sungai Besar dan Kuala Kangsar.
“Saya terpaksa jelaskan saya akan berkempen di kedua-dua tempat. Bulan puasa bukan masanya untuk kita bersikap kasar. Saya akan cuba elak daripada menggunakan perkataan yang kasar,” katanya.
Pada masa sama, beliau menulis masih tidak faham bagaimana ada pihak yang masih sokong kepimpinan Najib.
“Di Brazil dan Kenya dan beberapa negara lain, tidak banyak bukti yang menunjukkan pemimpin mereka terlibat dengan rasuah atau salah guna kuasa. Tetapi tuduhan masih dibuat terhadap mereka.
“Presiden Brazil digantung jawatannya oleh hakim besar supaya tidak mengganggu siasatan terhadapnya,” katanya.
Bagaimanapun, tulisnya, di Malaysia masih ada ahli dan pemimpin Umno yang mempertahankan dan cuba menunjukkan kebaikan Najib.
