Pengerusi SPR Datuk Seri Mohd Hashim Abdullah berkata, bendera parti tidak memerlukan kelulusan daripada SPR.
“Oleh itu, tidak timbul isu penggunaan bendera yang berlainan warna dengan logo, kerana apa yang dipaparkan dalam laman web SPR adalah secara am sahaja,” katanya dalam satu kenyataan.
Katanya lagi, bendera parti atau pertubuhan diluluskan di bawah Akta Pertubuhan 1966 dan jika terdapat kesalahan berkaitan, ia tertakluk di bawah Seksyen 50 akta tersebut sahaja.
Katanya lagi, SPR hanya memantau penyalahgunaan simbol parti dan bukannya bendera.
Hari ini PAS membuat aduan kepada SPR berhubung warna bendera yang digantung AMANAH di Kuala Kangsar berbeza dengan warna logo parti itu dalam laman web SPR.
Pegawai Perundangan PAS Parlimen Kuala Kangsar Mohd Zamri Ibrahim memetik kes pada PRU lalu apabila mendakwa calon bebas bagi Parlimen Ipoh Barat menggunakan logo kuda yang berbeza dengan yang ditetapkan SPR, dan akhirnya diarahkan menurunkan logonya.
Mengulas perkara itu, Mohd Hashim berkata ia kerana calon bebas tidak memiliki simbol parti dan perlu menggunakan simbol yang sudah diberikan oleh SPR.
“Ia perlu dipatuhi kerana telah diluluskan Peraturan-Peraturan Perjalanan Pilihan Raya 1981 dan tidak boleh dipinda. Sekiranya tidak mematuhinya, tindakan akan diambil bagi pematuhannya,” katanya lagi.
