Ulama Indonesia kritik peraturan Ramadan halang jual makanan

Ulama Indonesia kritik peraturan Ramadan halang jual makanan

Klip seorang wanita menangis selepas dirampas barangan gerainya oleh pihak berkuasa tempatan di Indonesia mengundang kemarahan umum.

kompas
PETALING JAYA: Tindakan beberapa pihak berkuasa Indonesia menangkap umat Islam yang menjual makanan pada siang hari Ramadan dikritik seorang ulama terkenal negara itu.

Ahmad Syafii Maarif, bekas ketua umum pertubuhan Islam terbesar Indonesia, Muhammadiyyah, berkata pihak berkuasa sepatutnya melakukan kebaikan pada bulan puasa, selepas pasukan polis tempatan dikenali Satpol PP di Jawa Barat bertindak memaksa seorang pengusaha gerai makan wanita menutup gerainya.

“Apa yang dilakukan Satpol PP tidak baik dan tidak boleh dipertahankan,” katanya seperti dipetik akhbar Kompas semalam.

Klip video yang menunjukkan seorang wanita tua menangis selepas sepasukan pegawai merampas barangannya kerana membuka gerai di luar waktu yang dibenarkan menjadi viral dalam media sosial, dan mendapat simpati umum yang mula menyalurkan sumbangan tunai.

Menurut surat pekeliling yang dikeluarkan Satpol PP, gerai makanan dan restoran hanya boleh beroperasi antara 4.00 petang dan 9.00 malam, dan antara 2.00 dan 4.00 pagi bagi menyajikan makanan sahur.

Surat itu juga memerintahkan penutupan kafe dan pusat hiburan di sepanjang Ramadan, di samping meminta pekerja hotel dan restoran berpakaian memenuhi peraturan Islam.

Di Bogor, beberapa orang yang ditahan kerana makan di khalayak ramai diberikan ceramah dan dipaksa melakukan tekan tubi, sebelum diberi amaran.

“Jika kami menangkap mereka lagi, kami akan menghukum mereka dengan lebih banyak tekan tubi,” kata ketua penguatkuasa di daerah Leuwiliang, Chairuka Judhianto.

“Ia merupakan peringatan supaya tidak mengulangi kelakuan mereka.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.