Ahli Parlimen gesa rakyat sehati sejiwa hadapi cabaran krisis bahan api

Ahli Parlimen gesa rakyat sehati sejiwa hadapi cabaran krisis bahan api

Wakil rakyat Pulai Suhaizan Kaiat berkata kerajaan sedang berusaha sebaik mungkin menangani kesan kenaikan harga minyak global.

Petrol 95
Kerajaan berbelanja RM4 bilion untuk menguruskan subsidi bahan api dengan mengekalkan harga lebih rendah untuk pengguna BUDI95 iaitu pada kadar RM1.99 seliter.
PETALING JAYA:
Ahli Parlimen Pulai Suhaizan Kaiat menggesa rakyat bersatu hati menghadapi cabaran ekonomi susulan ketidaktentuan harga bahan api global yang turut menghimpit negara jiran.

Beliau menarik perhatian kepada situasi di Thailand apabila harga diesel melonjak sehingga 40 baht seliter selepas pemotongan subsidi dengan jangkaan terus menaik, manakala Indonesia pula mula melaksanakan catuan bahan api mengehadkan 50 liter bagi setiap kenderaan.

Menurutnya, kerajaan Indonesia juga mengurangkan penggunaan kenderaan rasmi dan perjalanan pekerja kakitangannya dikurangkan sebanyak 70%.

“Ini menunjukkan kesan pencerobohan jenayah rejim Zionis dan rakannya Amerika Syarikat. Kita mesti tabah dalam menghadapi provokasi dan ketegangan yang semakin meningkat.

Suhaizan Kaiat
Suhaizan Kaiat.

“Sebagai rakyat Malaysia, kita semua perlu bersama, sehati sejiwa menghadapi cabaran ini,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata Perdana Menteri Anwar Ibrahim juga sedang berusaha sebaik mungkin menangani kesan kenaikan harga minyak global.

Menurutnya, kerajaan membelanjakan kira-kira RM4 bilion sebulan untuk subsidi bahan api dengan mengekalkan harga lebih rendah untuk pengguna Budi Madani RON95 (BUDI95) iaitu pada kadar RM1.99 seliter.

“Malah harga bersubsidi bagi petrol yang paling banyak digunakan di Malaysia adalah antara yang terendah di dunia,” katanya.

Bagi mengurangkan kesan itu, Suhaizan berkata kerajaan menyelaraskan sementara kuota bulanan BUDI95 kepada 200 liter sebulan.

Menurutnya, kesan kenaikan harga diesel pula diserap dengan subsidi kepada sektor utama bagi mengurangkan kesan rantaian.

“Dalam langkah lain, kakitangan kementerian, agensi dan syarikat milik kerajaan juga akan bekerja dari rumah mulai 15 April sebagai usaha menjaga keselamatan tenaga Malaysia,” katanya.

Beliau turut menyelar pihak menyebarkan berita palsu yang berniat jahat dan menggesa kekeliruan di media sosial dihentikan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.