Ledionnie, yang lebih suka dipanggil Leo, berkata pengalaman berpuasa bermula sejak mula akrab dengan kawan-kawan beragama Islam
“Saya ada kawan-kawan beragama Islam sejak di universiti lagi, tetapi saya mula berpuasa pada 2014 apabila saya mempunyai kawan-kawan rapat yang beragama Islam,” kata wanita berusia 30 tahun itu kepada FMT.
Pada mulanya Leo hanya meraikan buka puasa bersama teman-teman rapat. Pada suatu hari, Leo tergerak untuk berpuasa untuk merasai sendiri bagaimana teman-temannya melalui hari-hari mereka berpuasa di bulan Ramadan.
“Hari pertama memang payah. Di pejabat, saya bersusah payah untuk kekal berjaga dan bila azan Maghrib berbunyi, saya rasa macam nak pengsan.”
Penganut agama Islam berpuasa mulai dari solat Subuh, iaitu sekitar 5.30 pagi, hingga ke solat Maghrib, iaitu sekitar 7.30 malam.
Leo menceritakan beliau terdorong untuk terus berpuasa apabila menyedari latihan itu menjadikan beliau lebih berdisplin. Beliau juga berpuasa atas alasan kesihatan.
“Saya bukannya berpuasa kerana mengikut orang lain. Berpuasa membantu saya berubah menjadi lebih berdisplin dari segi mengawal diri serta saya lebih kerap menilai diri sepanjang tempoh berpuasa. Lagipun, inilah masanya tubuh boleh menyahtoksik sepenuhnya.
Leo sangat mengkagumi teman-teman beragama Islam yang menyokong usahanya selama ini, walaupun adakalanya dipertikaikan ahli keluarga sendiri.
“Mereka tanya mengapa saya berpuasa. Mereka tak marah pun, cuma bimbang saya pengsan.”
Penganut Kristian juga berpuasa selama 40 hari pada waktu Lent, yang jatuh pada seawal Februari atau selewat Mac sebelum sambutan Easter.
Namun Leo merasakan dirinya lebih berdisplin mengikuti tradisi puasa penganut agama Islam.
Leo akui berpuasa di bulan Ramadan menguja minatnya mempelajari agama Islam.
“Dari masa ke semasa saya belajar mengenai agama Islam kerana saya tak mahu jadi katak bawah tempurung, dan saya selalu bertanya kepada kawan-kawan sekiranya saya tak faham mengenaui sesuatu.”
Selain daripada teman-temannya, Leo juga intim dengan ramai keluarga muslim, termasuk salah seorang ibu saudaranya dan sebahagian saudaranya.
“Kami rai semua jenis perayaan daripada Krismas ke Gawai ke Raya, dan saya tak keseorangan.”
Meskipun belum sempat berpuasa penuh satu bulan, Leo tidak mahu mengalah.
“Saya belum mampu berpuasa penuh, tetapi tahun lepas saya berjaya berpuasa dua minggu tanpa gagal dan saya rasa sangat puas.”
