Brexit mampu lonjakkan ringgit

Brexit mampu lonjakkan ringgit

Sukar menentukan unjuran sebenar kerana masih wujud banyak ketidaktentuan meskipun paras terendah Pound Sterling dijangka boleh menyusut berbanding ringgit kepada RM4 satu pound.

RM-Pound
KUALA LUMPUR: Keputusan rakyat Britain keluar daripada Kesatuan Eropah (EU) atau Brexit mampu memanfaatkan ringgit dengan beberapa pihak menjangkakan mata wang tempatan itu akan mengukuh kepada RM4 berbanding pound British.

Ahli Ekonomi MIDF Research, Izzuddin Yussof berkata, impak ke atas sektor kewangan hanya minimum jika ekonomi kelima terbesar dunia itu memutuskan untuk kekal dalam EU kerana ia mampu membantu meningkatkan sentimen dan merangsang pasaran kewangan.

Namun katanya, ekoran pengunduran United Kingdom daripada blok ekonomi berkenaan, impaknya dijangkakan melampaui pasaran kewangan dan boleh menjejaskan ekonomi dunia.

“Kejutan dalam pasaran kewangan sangat besar yang berpotensi memperlahankan ekonomi dunia secara menyeluruh.

“Bagi menentukan unjuran sebenar agak sukar memandangkan masih wujud banyak ketidaktentuan, meskipun kami menjangkakan paras terendah Pound Sterling boleh menyusut berbanding ringgit kepada RM4 satu pound,” katanya kepada Bernama.

Keputusan pungutan suara itu menunjukkan 51.89% pengundi memilih untuk keluar daripada EU, manakala 48.11% lagi memilih untuk kekal dalam blok ekonomi berkenaan.

Keputusan itu menyaksikan pound British mengalami kejatuhan paling besar dalam tempoh sehari, jatuh lebih 10% berbanding dolar ke paras terendah sejak 1985.

Pound sterling juga diniagakan pada 1.37 sedolar US pada jam 3.50 petang tadi berbanding 1.5 US dolar pada sesi penutupan semalam.

– BERNAMA

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.