Perkara itu disahkan oleh Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dalam kenyataannya hari ini.
Menurutnya, dua jet pejuang F-16 tentera udara Indonesia itu hanya membuat identifikasi visual ke atas pesawat MEGA 207 TUDM itu.
“Memintas akan membawa maksud memaksa pesawat MEGA 207 untuk mendarat. Ini tidak berlaku. Ia hanya melakukan identifikasi visual ke atas pesawat kita,” katanya.
Hishammuddin berkata demikian selepas menerima “laporan ringkas” daripada Panglima TUDM Jen Tan Sri Roslan Saad mengenai insiden yang berlaku ketika pesawat Malaysia itu sedang dalam misi menjalani latihan berjadual.
Bagaimanapun, insiden itu dikatakan tidak akan dipandang remeh dan pihak pertahanan akan terus mengggunakan laluan ini tanpa sebarang rasa ragu-ragu.
“Bagi pihak Malaysia, MEGA 207 menjalani misi latihan berjadual mengikut laluan penerbangan yang telah ditentukan lebih awal, menurut pelan penerbangan yang telah dihantar menggunakan Prosedur Operasi Standard sedia ada,” katanya lapor Bernama.
Malah, perjanjian Malaysia dan Indonesia secara jelas menyatakan negara kita berhak melakukan “penerbangan berterusan, cepat dan cekap dan tanpa halangan” di ruang udara itu.
“Saya akan membawa isu ini kepada perhatian Menteri Pertahanan Indonesia Jen Ryamizard Ryacudu pada bulan depan di Jakarta untuk menzahirkan kebimbangan Malaysia.
“Walaupun kami berkongsi hubungan rapat, isu seperti ini perlu dibincangkan secara terbuka untuk memastikan kefahaman bersama di semua peringkat di kedua-dua negara,” katanya.
