TUDM laksana ujian penerbangan pertama Anka-THS di Labuan

TUDM laksana ujian penerbangan pertama Anka-THS di Labuan

Ujian selama 3 jam perkukuh keupayaan pemantauan strategik, selari pelan pemodenan CAP55.

anka-ths
Menurut TUDM, Anka-THS mampu beroperasi dalam pelbagai keadaan cuaca, siang dan malam, dengan tempoh penerbangan lebih 20 jam. (Gambar TUDM)
PETALING JAYA:
Tentera Udara (TUDM) melaksanakan ujian penerbangan pertama pesawat Anka-THS di Pangkalan Udara Labuan semalam, mencatat sejarah baharu dalam usaha pemodenan asetnya.

Ujian yang dikendalikan oleh No 11 Skuadron itu berlangsung selama tiga jam dan merupakan sebahagian daripada persediaan sebelum penyerahan rasmi aset berkenaan kepada Tentera Udara.

“Kejayaan penerbangan sulung tersebut adalah hasil kerjasama pelbagai pihak termasuk Markas Pemerintahan Operasi Udara, Markas Wilayah Udara 2, MTU-Perancangan dan Pembangunan, serta Pangkalan Udara Labuan,” katanya dalam kenyataan.

“Turut terlibat ialah beberapa agensi lain seperti Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM), Bahagian Geospatial Pertahanan, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), dan Jabatan Meteorologi Malaysia.”

Menurut Tentera Udara, sistem pesawat Anka-THS yang dibangunkan oleh Turkish Aerospace Industries dijangka memperkukuh keupayaan Intelligence, Surveillance, Target Acquisition and Reconnaissance (Istar), khususnya dalam melaksanakan pemantauan strategik di wilayah timur serta kawasan berkepentingan seperti Laut China Selatan.

Katanya, pesawat itu mampu beroperasi dalam pelbagai keadaan cuaca, siang dan malam, dengan tempoh penerbangan melebihi 20 jam.

“Anka-THS merupakan sebahagian Fasa 1 Pelan Perolehan Strategik Pertahanan Negara di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12), selain selari dengan pelan pembangunan keupayaan TUDM menerusi CAP55,” katanya.

“Perolehan aset berkenaan dijangka meningkatkan keupayaan TUDM dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam operasi pemantauan strategik, pengawasan maritim serta pengumpulan maklumat risikan, sekali gus memperkukuh kesiapsiagaan pertahanan dan kedaulatan negara.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.