Anwar tegas kuasa luar jangan campur rundingan berkait Laut China Selatan

Anwar tegas kuasa luar jangan campur rundingan berkait Laut China Selatan

Perdana menteri berkata Asean juga setuju mengekalkan pendiriannya bahawa rundingan mengenai kod tatakelakuan antara Asean dan China dipercepat.

South China Sea
China menuntut kawasan luas di Laut China Selatan melalui apa yang dipanggil ‘sembilan garis putus’, manakala AS dan sekutunya telah menjalankan ‘operasi kebebasan pelayaran’ untuk menegaskan hak antarabangsa. (Gambar Tentera Laut AS)
CEBU:
Rundingan antara Asean dan China berhubung pertikaian Laut China Selatan mestilah diteruskan tanpa campur tangan luar, kata Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Anwar berkata, isu Laut China Selatan kekal antara cabaran terbesar blok itu. “Namun, kami mengekalkan pendirian bahawa rundingan harus kekal antara Asean dan China, tanpa penglibatan kuasa luar lain,” katanya selepas menghadiri Sidang Kemuncak Asean.

Beliau juga berkata, blok tersebut telah bersetuju mengekalkan pendiriannya bahawa rundingan mengenai kod tatakelakuan (CoC) antara Asean dan China dipercepatkan, mengambil kira tarikh sasaran yang ditetapkan adalah pada tahun ini. “Setakat ini, Kementerian Luar telah menegaskan terdapat kemajuan ke arah itu,” katanya.

Rundingan mengenai kod berkenaan telah diadakan lebih 17 tahun, namun kemajuannya perlahan disebabkan pelbagai isu yang mencetuskan pertikaian.

Pada Januari, Menteri Luar Mohamad Hasan berkata, kemajuan ketara telah dicapai dengan hampir 70% daripada kandungannya telah dipersetujui; bagaimanapun, rundingan masih diperlukan bagi memastikan kedaulatan negara tidak terjejas.

Mohamad berkata, tuntutan bertindih memerlukan penyelesaian melalui rundingan dua hala atau pelbagai hala, manakala kod tersebut berfungsi bagi menetapkan prinsip tingkah laku dan langkah membina keyakinan bagi mengelakkan ketegangan di kawasan berkenaan.

China telah mengisytiharkan kedaulatan ke atas kawasan laut yang luas melalui pengisytiharan apa yang dipanggil ‘sembilan garis putus’ yang bertindih dengan zon ekonomi eksklusif (ZEE) anggota Asean di bawah undang-undang laut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Ketegasan China yang semakin meningkat di perairan berkenaan menjurus pertembungan dengan nelayan di Filipina, Sabah, dan Sarawak.

Memandangkan hampir satu pertiga daripada jumlah perkapalan global melalui Laut China Selatan, wilayah ini telah menjadi subjek pertikaian antara China dengan Amerika Syarikat (AS) serta sekutunya, di mana mereka menegaskan hak antarabangsa bagi hak lintas damai dan menjalankan latihan yang dipanggil sebagai kebebasan pelayaran.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.