
Beliau berkata pemimpin Asean kini serius mempertimbangkan pendekatan libat urus yang ‘agresif’ dengan Myanmar sambil mengekalkan Konsensus Lima Perkara blok itu.
“Hari ini, buat pertama kali, ada kesediaan untuk berkata, ‘Baiklah, kita teruskan. Konsensus Lima Perkara kekal, tetapi sekurang-kurangnya kita mesti mempunyai libat urus yang lebih berkesan,’” katanya pada sidang media di sini.
Beliau berkata perubahan itu menandakan anjakan ketara berbanding perbincangan terdahulu apabila kurang komitmen dalam kalangan pemimpin Asean untuk menggerakkan proses tersebut ke hadapan.
Katanya, menteri luar Asean akan memulakan perbincangan dalam tempoh beberapa minggu mengenai mekanisme libat urus baharu melibatkan Myanmar, yang mungkin termasuk lawatan menteri luar dan pemimpin serantau bagi memperkukuh saluran dialog.
“Ia bukan penyelesaian muktamad, ia memerlukan masa,” tambahnya.
Myanmar kekal sebagai antara cabaran paling sukar bagi Asean sejak rampasan kuasa tentera pada 2021, dengan blok itu bergelut untuk menguatkuasakan Konsensus Lima Perkara yang dipersetujui bersama junta.
Sementara itu, Anwar berkata blok itu telah mencapai persetujuan mengenai kerjasama bekalan beras serantau susulan lebihan pengeluaran di negara seperti Indonesia dan Vietnam. Antara cadangan yang sedang dipertimbangkan ialah simpanan atau stok penimbal beras serantau bagi memastikan bekalan mencukupi untuk golongan rentan di seluruh blok.
Asean juga sedang membincangkan kerjasama lebih luas melibatkan petroleum, gas dan mineral bagi memperkukuh keselamatan bekalan serantau, dengan Anwar mengaitkan keperluan mendesak itu kepada kesan perang Asia Barat terhadap rantaian bekalan dan harga global.
Turut hadir pada sidang media itu ialah Menteri Luar Mohamad Hasan, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Johari Abdul Ghani, Ketua Setiausaha Kementerian Luar Amran Mohamed Zin, Ketua Setiausaha Sulit kepada Perdana Menteri Shahrol Anuwar Sarman, serta Duta Malaysia ke Filipina Abdul Malik Melvin Castelino Anthony.
Delegasi itu berada di bandar Cebu, Filipina bagi menghadiri sidang kemuncak Asean.