Risiko gangguan maritim meningkat, Asean jangan sekadar keluar kenyataan

Risiko gangguan maritim meningkat, Asean jangan sekadar keluar kenyataan

Penganalisis gesa blok itu perkukuh tindakan kolektif, terjemah pengalaman urus laluan maritim kepada langkah konkrit.

Strait of Malacca AFP
Seorang penganalisis geopolitik anggap Selat Melaka dan Laut China Selatan jauh lebih penting dan kritikal berbanding Selat Hormuz. (Gambar AFP)
CEBU:
Asean mesti memperkukuh tindakan kolektif, lebih daripada sekadar mengeluarkan kenyataan, susulan peningkatan risiko terhadap laluan maritim utama, dengan seorang penganalisis geopolitik memberi amaran bahawa laluan air blok itu sendiri mungkin berdepan ancaman gangguan baharu.

Azmi Hassan daripada Akademi Nusantara berkata, rekod prestasi Asean dalam memastikan laluan maritim utama kekal terbuka harus dilihat sebagai bukti kemampuannya memainkan peranan keselamatan maritim yang lebih besar.

“Saya rasa Selat Melaka dan Laut China Selatan jauh lebih penting dan lebih kritikal berbanding Selat Hormuz,” katanya kepada FMT.

Azmi menjelaskan, Selat Melaka dan Laut China Selatan menjadi penghubung penting antara dunia Barat, termasuk Eropah, dengan Timur, merangkumi ekonomi utama seperti Jepun, China dan Korea Selatan.

Beliau juga berkata, rantau ini telah mengekalkan kebebasan navigasi selama beberapa dekad walaupun wujud ketegangan geopolitik melibatkan kuasa-kuasa besar.

“Selama beberapa dekad yang lalu, kebebasan navigasi tidak pernah terbantut,” katanya.

Azmi berkata, pengalaman Malaysia dan Asean dalam menguruskan laluan air ini membuktikan bahawa blok itu sudahpun memainkan peranan sebagai penstabil dalam keselamatan maritim serantau.

Bagaimanapun, Julia Roknifard daripada Universiti Taylor berkata, Asean kini mesti menterjemahkan pengalaman tersebut kepada mekanisme kolektif yang lebih kukuh dan konkrit.

Beliau berkata, blok itu tidak boleh lagi bergantung kepada tindak balas yang tidak diselaraskan, terutamanya ketika tekanan luar terus meningkat.

“Asean mesti berusaha secara kolektif kerana tiada negara anggota secara bersendirian mampu hadapi tekanan AS,” katanya.

Roknifard juga berkata, blok itu perlu lebih mengiktiraf dan menggunakan kuasa tawar-menawar kolektifnya apabila berurusan dengan kuasa-kuasa besar.

Blok Asean perlu ‘muhasabah diri’ bagi memastikan suara yang bersatu dalam hal ehwal global, tambahnya.

Beliau memberi amaran bahawa risiko tersebut juga boleh menular dengan lebih dekat, termasuk potensi ancaman terhadap titik sempit (chokepoints) utama serantau.

“Ini amat penting terutamanya apabila kita dapat lihat tanda-tanda wujudnya rancangan ganggu Selat Melaka,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.