
Bahagian Risikan dan Komunikasi Strategik Pertahanan Markas ATM dalam kenyataan, memaklumkan langkah drastik itu dilaksana sebagai sebahagian usaha berterusan memperkukuh budaya profesionalisme, disiplin, dan tatakelola organisasi itu.
Sebagai langkah awal, TF itu sedang melaksanakan analisis menyeluruh terhadap data dan statistik kes buli dari 2022 sehingga April 2026 bagi mengenal pasti trend semasa, faktor penyumbang serta cabaran pengurusan pada peringkat unit dan formasi.
Usaha membanteras gejala itu turut diperkasakan menerusi lawatan lapangan bersasar ke unit dikenal pasti mempunyai risiko tinggi bagi memastikan tindakan intervensi dan pemantauan dapat dilaksanakan secara lebih holistik dan berfokus.
Inisiatif diilhamkan Panglima Angkatan Tentera (PAT) Malek Razak Sulaiman itu selaras dengan tonggak kedua perintah ulung, beliau yang menekankan kepentingan memperkukuh sistem pengurusan organisasi, integriti serta kesejahteraan warga ATM secara menyeluruh.
“PAT menegaskan budaya buli tidak boleh dikompromi kerana ia bukan sahaja menjejaskan disiplin dan moral anggota, malah berpotensi memberi implikasi terhadap kesiapsiagaan operasi, keberkesanan pemerintahan serta imej institusi pertahanan negara,” menurut kenyataan itu.
Penubuhan TF itu bertujuan melaksanakan penilaian menyeluruh terhadap situasi semasa dan trend kes buli dalam ATM termasuk menilai keberkesanan dasar, SOP, mekanisme pelaporan serta langkah penguatkuasaan sedia ada bagi mengenal pasti kelemahan sistemik dan ruang penambahbaikan.
“Bagi memastikan pemantauan yang berkesan, TF Antibuli ATM menghimpunkan wakil daripada ketiga-tiga cabang perkhidmatan tentera, iaitu tentera darat, tentera laut, dan tentera udara.”
Selain itu, ATM juga sedang membangunkan Pelan Tindakan Strategik Antibuli ATM yang akan berfungsi sebagai panduan komprehensif dalam memperkukuh struktur pelaporan, pemantauan, penguatkuasaan dan tindakan pencegahan secara berterusan.
“Bagi memastikan setiap aduan dapat disalurkan dengan selamat dan telus, ATM menyediakan beberapa saluran rasmi untuk kegunaan anggotanya termasuk talian telefon khas, e-mel rasmi, Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA) ATM, surat rasmi dan aduan secara bersemuka melalui Bahagian Inspektorat Jeneral ATM,” menurut kenyataan itu.
ATM memberi jaminan setiap aduan diterima akan diteliti dan diuruskan secara profesional tanpa kompromi terhadap sebarang pelanggaran disiplin.