SKMM nafi ‘pilih kasih’ terhadap komen berunsur kebencian

SKMM nafi ‘pilih kasih’ terhadap komen berunsur kebencian

Pengawal selia internet itu berkata ia hanya boleh ambil tindakan jika aduan rasmi dibuat.

MCMC
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia berkata ia komited terhadap penguatkuasaan yang adil, telus dan tidak berat sebelah.
PETALING JAYA:
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menafikan dakwaan seorang kolumnis bahawa agensi itu bersikap pilih kasih dalam mengambil tindakan terhadap komen berbaur kebencian di media sosial, susulan pelantikan CEO baharu Talent Corporation Malaysia Bhd.

Dalam satu kenyataan, pengawal selia internet itu berkata ia tidak menerima sebarang aduan rasmi berhubung komen seperti itu.

“Oleh itu, tiada siasatan dimulakan. Proses penguatkuasaan SKMM dipandu oleh proses wajar, keperluan pembuktian dan ambang perundangan,” katanya.

Ia juga menggesa sesiapa yang terkesan dengan komen sedemikian supaya membuat aduan rasmi melalui aduan.mcmc.gov.my.

“Tindakan penguatkuasaan hanya boleh diambil apabila terdapat asas yang mencukupi, disokong oleh kemudaratan yang disahkan, konteks yang tepat, dan bukti yang boleh diterima,” katanya.

SKMM juga berkata pihaknya telah mengambil tindakan terhadap satu komen yang dibangkitkan kolumnis itu, dan menegaskan bahawa penguatkuasaan bukan dilakukan secara sewenang-wenangnya, tetapi bergantung kepada aduan rasmi serta ‘asas yang cukup untuk siasatan’.

“SKMM kekal komited terhadap penguatkuasaan yang adil, telus dan tidak berat sebelah, dan akan terus mengambil tindakan sewajarnya untuk melindungi kepentingan awam, keselamatan negara dan keharmonian masyarakat.”

Agensi itu turut mengulangi bahawa penyedia perkhidmatan dalam talian bertanggungjawab untuk mengurus kandungan yang diterbitkan di platform mereka, sambil menambah bahawa TalentCorp telah memadam komen negatif berkaitan CEO baharunya.

Katanya, kandungan yang dianggap menyinggung tidak semestinya satu kesalahan di sisi undang-undang.

“Setiap kes dinilai berdasarkan meritnya sendiri menurut peruntukan undang-undang yang berkaitan, dengan pertimbangan teliti terhadap niat, konteks, potensi kemudaratan, dan bukti yang mencukupi.”

TalentCorp melantik Biruntha Mooruthi sebagai CEO kumpulan awal bulan ini, menggantikan Edward Ling.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.