
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman M Kumar berkata siasatan tersebut dijalankan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas dan Suruhanjaya Komukasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).
Katanya, siasatan dibuat mengikut Seksyen 4 (1) Akta Hasutan 1948, Seksyen 504 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
“Siasatan terhadap individu tersebut sedang dijalankan termasuk merampas peranti yang digunakan bagi membuat hantaran tersebut,” katanya dalam satu kenyataan.
Kumar berkata, setakat ini sebanyak 21 laporan polis diterima berkaitan isu itu di seluruh negara dan seramai 21 individu yang tampil buat laporan polis sudah dirakam keterangan.
“Tindakan tegas tanpa kompromi akan diambil terhadap mana-mana individu yang menyalahgunakan media sosial bagi maksud menyalahi undan-undang termasuk berkaitan isu 3R.
“Kebebasan bersuara di bawah Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan mempunyai limitasi, justeru orang ramai dinasihat berhemah dan bertanggungjawab dalam mengeluar sebarang kenyataan dan kandungan di ruang awam mahu pun di media sosial,” katanya.
Semalam, Exco Ng Sze Han Selangor, mengecam sekeras-kerasnya hantaran media sosial yang menyunting gambar babi mengenakan pakaian istiadat Istana dan mengaitkannya dengan Sultan Sharafuddin Idris Shah.
Ng berkata tindakan itu tidak beradab, melanggar norma serta tata susila, dan satu cubaan yang mampu mendatangkan kacau bilau.
“Saya menyeru polis untuk mengambil tindakan segera supaya pesalah ini dapat dihukum dengan hukuman yang berat berlandaskan undang-undang,” menurut kenyataan.
Pada 10 Feb lalu, Sultan Selangor menzahirkan pendirian tidak berkenan jika ada mana-mana kawasan dijadikan tempat penternakan babi.
Lantaran kontroversi menyusuli kenyataan Adun Seri Kembangan Wong Siew Ki berhubung penternakan babi secara moden, Setiausaha Agung DAP Loke Siew Fook menyangkal tuduhan bahawa partinya tidak menghormati institusi diraja.