Kejadian kebakaran hutan dan ladang sawit itu dikatakan akan terkawal sekali gus akan mengatasi masalah jerebu yang berlaku setiap tahun sebelum ini.
Ketua Umum Gabungan Pengusaha Kelapa Sawit Indonesia (Gapki) Joko Supriyono berkata keyakinan itu berasaskan persiapan semua pihak termasuk kerajaan, syarikat perladangan dan penduduk kampung di kawasan ladang kelapa sawit.
“Kebakaran adalah masalah kita bersama, kerana itu semua anggota GAPKI diminta proaktif membantu kerajaan untuk mengatasinya.
“Penduduk kampung juga dinasihatkan supaya tidak melakukan pembakaran besar-besaran secara terbuka,” katanya.
Beliau berkata, selain itu, Gapki akan bekerjasama dengan kerajaan Indonesia dalam membantu pemantauan di semua titik panas.
Katanya, Gapki menyambut baik arahan Presiden Joko Widodo (Jokowi) agar pihak penguatkuasa mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana syarikat yang melakukan pembakaran terbuka.
Joko berkata pihaknya menyokong tindakan tegas kerajaan terhadap pengusaha kepala sawit jika memang terbukti sengaja membakar ladang mereka bagi sebarang tujuan.
Bagaimanapun, Gapki menggesa agar pihak berkuasa turut mengambil tindakan terhadap mereka yang melakukan kebakaran hutan di luar kawasan ladang kelapa sawit.
Baru-baru ini, Jokowi mengarahkan semua pihak berkuasa mulai sekarang menjalankan kerja mencegah masalah pembakaran hutan dan ladang.
Beliau berkata pihak berkuasa harus bersiap sedia menghadapi bencana kebakaran hutan dengan lebih awal serta menjadikan aktiviti pencegahan sebagai keutamaan dalam gerak kerja masing-masing.
Kerajaan republik itu membentuk Badan Restorasi Gambut bagi menjalankan aktiviti memelihara hutan serta memastikan masalah kebakaran hutan dan ladang tidak berulang pada tahun ini.
Di samping itu, presiden itu turut mengarahkan semua pihak berkuasa peringkat daerah termasuk tentera dan polis supaya turun ke lapangan dan membuat pemantauan.
Jokowi juga menegaskan tindakan undang-undang termasuk hukuman penjara akan dikenakan terhadap mereka yang terbabit dalam aktiviti pembakaran hutan dan ladang secara terbuka.
Indonesia menghadapi bencana kebakaran hutan dan tanah gambut yang serius selama lebih empat bulan sejak Julai tahun lepas dengan sesetengah daerah mencatat bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) luar biasa sehingga 2,000.
Negara jiran termasuk Malaysia turut dilanda pencemaran jerebu dengan bacaan di tahap berbahaya sehingga sesi persekolahan di beberapa negeri terpaksa ditangguhkan untuk beberapa waktu.
-BERNAMA
