Bom tangan jatuh atas kepala saya – pelanggan pub

bom-tangan

PETALING JAYA: Seorang pelanggan pub di Puchong nyaris maut apabila bom tangan yang dilontar penjenayah terkena kepalanya sebelum meletup.

“Bom tangan terkena kepala saya sebelum jatuh ke lantai, keluarkan asap dan meletup,” kata lelaki Cina berusia 29 tahun yang dipetik China Press itu.

Ketika kejadian, mangsa bersama isterinya yang merupakan seorang warga China berusia 30 tahun sedang duduk di luar pub berkenaan dan beliau tidak nampak dari arah mana bom itu dilontarkan serta wajah suspek.

“Dari saat bom tangan terkena kepala saya sehingga ia meletup, seluruh proses berlaku dalam sekelip mata dan saya tidak sedarkan diri selepas letupan berlaku.

“Apabila sedar, saya dapati diri sedang baring di katil hospital dan cedera di beberapa bahagian badan,” katanya yang cedera di pipi, ibu jari tangan kanan, kaki, lengan kiri dan bahagian badan yang lain.

Buat masa ini, keadaan beliau dan isterinya stabil, mereka masih dirawat di Hospital Serdang.

Difahamkan, mangsa yang bekerja sebagai tukang masak di Singapura dan menetap di Johor Bahru bersama isterinya, sedang minum bersama beberapa rakan di pub terbabit sebelum pulang ke Johor.

Tambahan, jarak pub itu dengan Balai Polis Puchong Jaya hanya sejauh 500 meter dan ternyata penjenayah sengaja mencabar kewibawaan polis.

Letupan yang dipercayai berpunca daripada bom tangan itu berlaku kira-kira jam 2.15 pagi ketika pengunjung pub berkenaan sedang menyaksikan perlawanan bola sepak Euro 2016 menyebabkan empat lelaki dan tiga wanita tempatan serta seorang wanita warga China cedera.