Kerajaan disaran campur tangan isu beg udara Honda

PETALING JAYA: Aktivis pengguna menggesa campur tangan kerajaan bagi mengelakkan kejadian maut angkara beg udara bermasalah berulang.

Bekas menteri perdagangan dalam negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Seri Shahrir Samad mahu kerajaan mencari cara membendung kejadian yang telah meragut empat nyawa setakat ini.

Namun pertamanya, bekas menteri itu mahu tahu badan kerajaan yang bertanggungjawab memastikan tiada yang lagi kematian angkara beg udara bermasalah.

“Kementerian mana yang bertanggungjawab? Kementerian Pengangkutan? Kementerian Hal Ehwal Pengguna? Sirim Berhad)? Banyak sangat kementerian tapi siapa yang bertanggungjawab?” soalnya.

Shahrir juga mahu tahu kementerian yang bertanggungjawab untuk menguatkuasakan piawai beg udara.

“Empat kematian setakat ini angkara beg udara Takata. Mengapa tidak ada kementerian tampil ke depan menghentikan penjualan kereta yang dipasang beg udara Takata sehingga masalah diselesaikan,” katanya.

Shahrir berpendirian kerajaan tidak perlu khuatir jika Honda menarik keluar pelaburan mereka.

“Ini soal nyawa. Langkah tegas perlu diambil. Kita tak boleh lepaskan ke tangan pengilang kereta,” tegasnya.

Beliau berkata demikian mengulas kematian keempat membabitkan alat pengembung beg udara seperingkat Takata yang dipasang di bahagian pemandu dalam kenderaan Honda.

Kejadian terbaru menyaksikan Norazlin Haron maut selepas alat pengembung yang dipasang dalam Honda City miliknya pecah di Kota Damansara, Ahad lepas.

Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang S M Idris berkata kerajaan perlu memainkan peranan dalam langkah panggil balik barangan bermasalah, bukan menanti tindakan pihak syarikat semata-mata.

“Panggil balik bukan suatu pilihan atau atas dasar suka rela. Mesti wajib, dan perlu dipantau dan dikuatkuasakan oleh pihak berkuasa,” katanya, dan menambah hanya satu badan kerajaan yang perlu bertanggungjawab untuk memantau usaha panggil balik itu.

Idris berkata kerajaan perlu mengemukakan mekanisme memastikan semua syarikat kereta berusaha sehabis baik memanggil balik barangan bermasalah, dan mengambil tindakan terhadap mana-mana syarikat yang gagal berbuat demikian.

Presiden Persatuan Pengguna Islam Malaysia Datuk Nadzim Johan berkata satu agensi perlu dipertanggungjawab untuk meneliti hal panggil balik ini, dan memastikan semua kenderaan yang dipanggil balik dihantar kepada pengilang supaya semua kerosakan dibaiki.

“Bagaimana pembeli kenderaan terpakai nak tahu sama ada kerosakan sudah dibaiki sedangkan tiada hubungan langsung antara pembeli dan pengilang?”

Nadzim berpendapat Jabatan Pengangkutan Jalan Malaysia atau Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) perlu menyimpan daftar kenderaan yang perlu dipanggil balik dan menguatkuasakan langkah panggil balik itu.

Presiden Persatuan Otomobil Malaysia (AAM), Aishah Ahmad berkata pihaknya sedang mendapatkan senarai semua pemilik kenderaan di Malaysia.

Menurutnya, AAM memohon JPJ berkongsi pangkalan data bagi membolehkan persatuan menghubungi pemilik kepada kenderaan yang bermasalah.

“Sekiranya ada langkah panggil balik, kita boleh hubungi pemilik untuk mengetahui sekiranya mereka sudah menghantar kenderaan mereka untuk diperiksa,” katanya.