Najib sindir Dr M gagal bangunkan pengangkutan awam

Najib sindir Dr M gagal bangunkan pengangkutan awam

Kurang beri perhatian pada faktor mangkin itu menyebabkan kelompongan, kurang pelaburan dan sistem yang tidak bersepadu.

najib-mahathir-lrt

SUBANG JAYA:
Datuk Seri Najib Razak menyindir Tun Dr Mahathir Mohamad kerana gagal menyediakan pengangkutan awam yang mapan walaupun 22 tahun menjadi Perdana Menteri.

Berucap di Majlis Perasmian Projek Penyambungan Jajaran Sistem Transit Aliran Ringan (LRT) Laluan Kelana Jaya dan Ampang/Sri Petaling di Terminal LRT Putra Heights hari ini, Perdana Menteri berkata keadaan pengangkutan awam yang bermasalah kerana pemimpin terdahulu itu tidak menekankan pembangunan faktor mangkin ini.

“Bila saya ambil alih tampuk kepimpinan negara pada 2009, kita lihat bahawa salah satu cabaran kita pada masa itu…salah satu kelompongan yang berlaku dalam negara kita ialah masalah pengangkutan awam.

“Ini adalah kerana pemerintah sebelum ini yang memerintah selama 22 tahun tidak mengambil banyak perhatian dalam pembangunan pengangkutan awam dan menyebab berlakunya kelompongan, berlakunya kurang pelaburan, berlakunya sistem yang tidak bersepadu dan dimiliki oleh terlalu ramai pihak,” katanya.

Terletak di Persiaran Putra Indah berhampiran Pusat Komersil Putra Point, terminal ini menemukan laluan LRT Kelana Jaya dan laluan LRT Ampang/Sri Petaling melalui laluan tambahan baharu sepanjang 35.1km. Membabitkan pembukaan 23 stesen baharu di sepanjang laluan, ia dijangka menyumbang tambahan 300,000 penumpang sehari, dan memanfaatkan dua juta penduduk Lembah Klang.

“Hari ini kita semua menjadi saksi bahawa kerajaan yang sama telah berjaya melaksanakan projek ini.

“Projek ini telah menelan belanja RM8 bilion dan merupakan satu inisiatif untuk menyepadukan perkhidmatan awam dan nadi pada pertumbuhan ekonomi negara,” katanya.

Najib sempat berseloroh dengan hadirin kerana sepanjang projek pembangunan LRT ini berjalan ia telah menyaksikan penukaran Ketua Pegawai Eksekutif sebanyak tiga kali.

“Yang mustahak kerajaan yang sama memerintah, CEO boleh bertukar tetapi kerajaan tidak boleh bertukar. Kalau CEO bertukar tak apa tapi kalau kerajaan bertukar maknanya faham-faham lah,” katanya Najib disambut dengan tepukan gemuruh.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.