Ejen hartanah ditembak mati, anak 8 tahun cedera

car_tembak_polis

PETALING JAYA: Penembak bertindak kejam membunuh seorang ejen hartanah di hadapan lima anak mangsa di ibu negara hari ini.

Kes tembakan terbaru itu berlaku kira-kira jam 2.30 petang tadi ketika mangsa bersama lima anaknya yang berusia 2 hingga 13 tahun dan seorang pembantu rumah melalui Jalan Hujan Emas 4, Taman OUG, Jalan Klang Lama.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, SAC Rusdi Mohd Isa dipetik Oriental Daily berkata, wanita berusia 32 tahun itu mati akibat terkena tembakan di leher.

“Sebelum tembakan berlaku, mangsa bertolak dari rumahnya di Bukit Jalil bersama lima anaknya dan pembantu rumah dengan memandu kenderaan Toyota Vellfire berwarna hitam untuk makan (di Taman OUG) sebelum ke Pulau Pinang.

“Dua lelaki bermotosikal itu melepaskan lima das tembakan dari jarak dekat di cermin tingkap sebelah pemandu dan hasil pemeriksaan polis menemui satu kesan tembakan di leher mangsa,” katanya.

Agensi berita Bernama memetik Rusdi sebagai berkata, anak perempuan mangsa yang berusia 8 tahun cedera terkena serpihan peluru dan kini dirawat di Pusat Perubatan Universiti Malaya.

Menurut laporan Oriental Daily, saksi memaklumkan ternampak dua lelaki mencurigakan menaiki motosikal berulang-alik di tempat kejadian, dipercayai menunggu ketibaan kenderaan mangsa.

Rusdi berkata, polis mengambil rakaman kamera litar tertutup (CCTV) milik Dewan Bandaraya Kuala Lumpur di tempat kejadian untuk mengenal pasti identiti penembak.

Menurutnya, polis turut akan menjalankan siasatan daripada pelbagai sudut, termasuk menyiasat latar belakang mangsa dan suaminya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.