“Hanya kasut sahaja tidak beli untuk raya tahun ini”

Siti-Nuraisyah-Syahrin-1

PETALING JAYA: “Cuma kasut sahaja yang kita tidak belikan ,” ujar Roslan Sardi,40 apabila bercerita mengenai persiapan Hari Raya Aidilfitri terhadap anaknya Siti Nuraisyah Sahrin yang putus kedua-dua kakinya selepas digilis lori.

Kata Roslan, setakat ini beliau dan isterinya Maimunah Md Razalli, 48 telah menyediakan sepasang baju raya buat Nuraisyah atau lebih mesra dengan panggilan Ecah.

“Baju dia kita beli yang sudah siap sepasang dulu, dan nanti nak raya baru beli lagi sepasang,” katanya ketika dihubungi FMT.

Ujarnya, walaupun berlaku sedikit perubahan keadaan terhadap anaknya itu, ia tidak akan menjejaskan sambutan perayaan sebaliknya ia akan diteruskan seperti tahun-tahun sebelumnya.

“Persiapan kita sudah buat macam biasa, sama seperti sebelum kemalangan. Aisyah juga biasa sahaja, dia minta baju raya dan hendak bermain mercun,” katanya.

Roslan turut melahirkan rasa lega beliau apabila rumah untuk beliau dan anak-anak berlindung daripada hujan dan panas telah siap sepenuhnya. Bahkan, turut menyediakan kemudahan buat Ecah.

“Rumah pun baru siap di kampung, jadi kita sambut perayaan hari raya di kampung sahaja. Rumah pun selesa, jadi sudah siap untuk keselesaan Aisyah,” ujarnya.

Walaupun statusnya sebagai bapa tiri, Roslan menceritakan bahawa beliau tetap menyayangi Aisyah sama seperti anak-anak yang lain. Malah, beliau turut tidak terlepas melihat perkembangan diri anaknya itu.

“Saya jaga daripada kecil, sudah jadi macam anak saya. Kita anggap sama sahaja dengan anak yang lain,” katanya.

Menyedari hakikat bahawa Ecah kini berkerusi roda, Roslan menyatakan bahawa tumpuan lebih harus diberikan kepada Ecah bagi memudahkan tugas dan urusan seharian anaknya itu.

“Bezanya pada anak itu, kita mak ayah macam biasa, cumanya tahun lepas dia boleh berjalan sendiri tetapi tahun ini dia perlukan bantuan daripada kita, kita kena sokong dia,” jelasnya.

Sebagai seorang bapa, Roslan dan isterinya pasrah dengan takdir yang menimpa terhadap anaknya itu walaupun jauh di lubuk hatinya sedih dengan perkara yang berlaku.

“Sebagai ayah dan ibu kita memang rasa sedih tapi kita kena redha dengan takdir. Benda dah terjadi tidak boleh marah apa pun tidak boleh. Biasalah perasaan sedih itu wujud,” beritahunya.

Kisah Aisyah yang putus kedua-dua kakinya selepas digilis sebuah lori dalam kemalangan pada 18 Januari lalu turut mendapat perhatian Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Malah, Najib juga berpeluang menemui pelajar Tingkatan Satu Sekolah Menengah Bagan Terap itu.

“Walaupun kejadian yang menimpanya amat memilukan, saya kagum dengan semangat kentalnya mengharungi ujian yang datang melanda,” kata Najib.