Letupan bom Puchong: Seorang lagi ditahan

polis

PETALING JAYA: Seorang daripada dua suspek yang disyaki terbabit dalam letupan bom ke atas pusat hiburan di Puchong minggu lalu, ditahan polis.

Akhbar Oriental Daily memetik Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Abdul Wahib Musa sebagai mengesahkan Jasanizam Rosni, 33, kini dalam tahanan polis.

 

Menurut akhbar itu, Jasanizam ditahan di sekitar Batu Pahat, Johor petang semalam.

Seorang lagi suspek, Md Saifuddin Muji, 28, yang dipercayai bersubahat melancarkan serangan ke atas pusat hiburan Movida pada 28 Jun lalu, dipercayai masih berada di selatan Semenanjung dan dia dikatakan membawa bersamanya bom tangan.

Susulan penahanan Jasanizam, polis percaya dapat memberkas Saifuddin tidak lama lagi.

Sementara itu, The Star Online melaporkan Jasanizam dan Saifuddin adalah kawan baik dan mereka bekerja sebagai peniaga pasar malam.

Adik Jasanizam, Irsyad Rosni, 23, berkata Saifuddin akan memandu ke rumah mereka di Parit Raja untuk membawa abangnya berniaga di pasar malam berhampiran rumahnya.

Jelasnya, ayah mereka meninggal dunia beberapa tahun lalu dan Jasanizam bersama isteri serta tiga anaknya tinggal di rumah keluarganya untuk menjaga ibunya berusia 66 tahun.

Beliau berkata, Jasanizam yang jarang meninggalkan rumah untuk tempoh lama, tidak pulang ke rumah sejak hujung minggu lalu.

“Selagi tidak tahu cerita sepenuhnya, lebih baik kami kekal bertenang. Tetapi ini adalah hari raya yang sunyi bagi kami,” katanya kepada The Star Online.

Manakala ahli keluarga Saifuddin pula kali terakhir melihatnya di Kampung Parit Gantung di Seri Merlong, Rengit pada Jumaat lalu dan sejak itu mereka gagal menghubunginya.

Abang Saifuddin yang enggan namanya disiarkan berkata, adiknya akan pulang ke rumah selepas berniaga di pasar malam.

“Dia bukan jenis yang selalu keluar rumah,” katanya sambil menambah ibunya sedih dan terkejut apabila mengetahui anaknya terbabit dalam serangan di Puchong itu.

Isnin lalu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar mendedahkan letupan bom di Puchong adalah serangan pengganas IS pertama di negara ini.

Susulan itu, dua lelaki dipercayai bertanggungjawab melempar bom tangan ke arah pusat hiburan itu ditahan ketika bekerja di sebuah kilang di Pelabuhan Klang pada 1 Julai lalu.