Siasatan kes bunuh Bill Kayong diteruskan daripada pelbagai sudut

mazlan-bill-kayong

KUCHING: Siasatan ke atas kes pembunuhan ahli politik pembangkang, Bill Kayong tidak akan terhenti setakat penangkapan enam suspek pada Jumaat lepas, kata Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mazlan Mansor.

“Walaupun pihak kita (polis), khususnya pasukan khas yang ditubuhkan untuk mengendalikan kes berkenaan telah berjaya menemui senjata yang digunakan dalam kes pembunuh berkenaan tetapi siasatan dari pelbagai sudut tetap diteruskan bagi melengkapkan proses siasatan,” katanya pada rumah terbuka hari raya beliau di Jalan Casa Maxwell hari ini.

Menurut Mazlan, ada beberapa lagi tindakan yang perlu dilakukan bagi melengkapkan proses siasatan dan seterusnya melihat dari sudut mana pihaknya boleh membawa kes berkenaan ke mahkamah apabila hasil siasatan dikemukakan kepada pihak pendakwa raya kelak.

Apabila ditanya mengenai motif pembunuhan itu, Mazlan berkata beliau tidak berhasrat untuk mendedahkannya kerana bimbang ia boleh menjejaskan proses siasatan dan prosiding mahkamah sekiranya kes berkenaan dibawa ke mahkamah nanti.

Beliau berkata, pihak polis menyiasat kes berkenaan daripada pelbagai sudut termasuk untuk mengenal pasti kemungkinan pembunuhan aktivis tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) itu didalangi individu atau pihak tertentu.

Katanya, dalang atau perancang pembunuhan itu tidak akan terlepas daripada tindakan undang-undang sekiranya siasatan mendapati wujud pihak atau individu yang menjadi dalang dan perancangnya.

“Setakat ini sudah ada penemuan, itu pun satu daripada hasil siasatan yang bertungkus-lumus oleh pasukan khas yang ditubuhkan dan sedikit sebanyak membantu pihak polis dalam siasatan kes ini,” tambahnya.

Katanya, siasatan juga menjurus kepada aspek berkaitan tanah NCR, pembabitan mangsa dengan badan-badan bukan kerajaan (NGO) dan perkara dan hal peribadi mangsa.

Jumaat lalu, polis menahan enam suspek termasuk seorang wanita berusia 22 tahun di beberapa lokasi di Miri sepanjang operasi dua hari.

Menurut Mazlan, seorang daripada suspek yang ditahan itu membawa polis ke rumahnya di Jalan Hai Nam, Miri kira-kira jam 5 petang semalam.

Katanya, di rumah berkenaan polis menemui selaras senapang patah yang dipercayai digunakan dalam pembunuhan itu dan juga kelongsong peluru.

Mazlan berkata, semua yang ditangkap merupakan warga tempatan dan mereka kini ditahan reman bagi membantu siasatan.

Mengenai ancaman pengganas Daesh, Mazlan berkata walaupun belum ada sebarang laporan di Sarawak tetapi pihak polis sepanjang masa membuat pemantauan dan sentiasa berwaspada.