Suspek kelapan kes bunuh Bill Kayong diberkas

Suspek kelapan kes bunuh Bill Kayong diberkas

Suspek lelaki berusia 28 tahun itu ditangkap pada pukul 10.30 malam tadi di sebuah pusat hiburan di Piasau Utara 1, Miri.

dev_kumar_polis

MIRI:
Pasukan petugas khas polis memberkas suspek kelapan berkaitan siasatan kes Setiausaha Cabang PKR Miri Bill Kayong yang ditembak mati di persimpangan jalan di Lutong, 21 Jun lepas.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sarawak SAC Dev Kumar M.M. Sree Shunmugam berkata suspek lelaki berusia 28 tahun itu ditangkap pada pukul 10.30 malam tadi di sebuah pusat hiburan di Piasau Utara 1, di sini.

“Pasukan petugas percaya suspek ini dapat memberikan lebih banyak maklumat mengenai pembunuhan itu, dia akan dibawa ke Mahkamah Majistret Miri tengah hari ini untuk direman, kata Dev Kumar dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata sejak pasukan petugas itu dibentuk selepas kes pembunuhan itu, lapan suspek ditahan setakat ini dengan tujuh suspek masih dalam tahanan termasuk yang ditahan malam tadi.

Seorang daripada lapan suspek itu telah dibebaskan selepas permohonan untuk tahanan remannya ditolak oleh Mahkamah Majistret Miri.

Beliau berkata pasukan penyiasat itu akan memohon lanjutan tahanan reman bagi enam suspek yang diberkas pada awalnya kerana siasatan masih belum lagi selesai

 

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.