P Ramlee tak kaya tapi tak pernah merempat – Melissa Saila

P Ramlee tak kaya tapi tak pernah merempat – Melissa Saila

Pelakon senior itu berkata Tan Sri P Ramlee tidak pernah hidup merempat seperti digambarkan dalam kenyataan David Teo.

Melissa-Saila
PETALING JAYA: “Ya, dia memang tidak kaya tetapi keadaannya tidaklah seteruk yang digambarkan,” akui pelakon Melissa Saila yang sedikit terguris dengan kenyataan pengarah filem, David Teo.

Melissa yang juga anak saudara kepada seniman negara itu mempertikaikan mengapa P Ramlee dijadikan contoh dalam konteks keseluruhan mesej yang tidak relevan.

“Mengapa nama arwah pakcik saya perlu dipetik sebagai contoh kerana ia sama sekali tidak relevan dengan konteks keseluruhan mesej yang ingin disampaikan, terutama dalam persekitaran dunia hiburan kontemporari tanah air,” katanya kepada Astro Awani.

Pelakon yang juga pengarah itu berkata penggiat industri hiburan tanah air masing-masing berdepan dengan cabaran untuk memastikan kestabilan dalam karier sekali gus tahap kewangan mereka.

” Jika ada yang mampu mengumpul aset dan perniagaan, ia dilakukan melalui bidang di luar bidang seni, seperti perniagaan,” katanya.

Sementara itu, David Teo dalam satu kenyataan kepada media nafi mengeluarkan kenyataan yang menghina itu.

“Saya menghormati P Ramlee yang disifatkan sebagai penggiat seni dengan bakat luar biasa. Apa yang terjadi mungkin berpunca daripada salah tafsiran kenyataan sebenar yang dikeluarkan,” katanya yang turut memohon maaf jika kenyataan itu menyinggung mana-mana pihak.

David sebelum ini berkata kepada Malay Mail Online, syarikatnya MiG tidak hanya mahu melahirkan pelakon yang dikenali ramai tetapi mampu menjadi jutawan.

Katanya, tidak guna menjadi pelakon tetapi melarat sebagaimana pengakhiran kehidupan P Ramlee.

“Kalau tak jadi jutawan, jangan jadi pelakon. Gila glamor buat apa? Kita kena kaya-raya. Jangan seperti P Ramlee tinggal pun di tepi Bukit Bintang.

“Anak dia kena kerja dengan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur. Perbelanjaan kenalah dikawal secara berhemat.

“Kita tak boleh masa glamor lupa diri, berlagak dan berjoli tetapi bila dah tua tak ada duit,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.