Raja Bahrin setuju klia2 alami krisis identiti ala Frankenstein

Raja Bahrin setuju klia2 alami krisis identiti ala Frankenstein

Ahli Parlimen itu mempersoalkan mengapa terminal itu digunakan syarikat penerbangan tambang murah sekiranya ia bukan terminal tambang murah.

Raja-Bahrin
PETALING JAYA: Ahli Parlimen Kuala Terengganu Datuk Raja Bahrin Shah hari ini mempersoalkan Malaysia Airports (MAHB) yang mendakwa lapangan terbang tambang murah klia2 tidak boleh dianggap terminal tambang murah.

Pemimpin Amanah itu berkata ia bertentangan dengan kenyataan kerajaan sebelum ini yang klia2 merupakan terminal tambang murah, walaupun dengan kos pembinaan sehingga RM4 bilion.

Raja Bahrin mempersoalkan mengapa terminal itu digunakan syarikat penerbangan tambang murah sekiranya benar ia bukan terminal tambang murah.

Beliau bersetuju dengan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes, yang menyifatkan klia2 umpama lapangan terbang “Frankenstein” disebabkan krisis identiti yang menimpanya.

Sebelum ini, pengarah urusan MAHB Datuk Badlisham Ghazali mempertahankan caj perkhidmatan penumpang (PSC) di klia2, dengan berkata ia lebih rendah berbanding lapangan terbang lain di Asia.

“Yang pasti, (klia2) bukan terminal kos murah,” Badlisham memberitahu The Edge baru-baru ini.

Berikutan itu, Fernandes berkata klia2 bukan bersifat premium mahupun murah, dan dipenuhi masalah.

Raja Bahrin berkata beliau faham dengan kekecewaan Fernandes itu dan berkata pembaziran wang rakyat dan kecelaruan polisi kerajaan membantutkan usaha menarik pelancong.

Sehubungan itu, katanya, slogan AirAsia, “Now Everyone Can Fly”, lebih sesuai kiranya ditukar kepada “Now Everyone Can Cry”.

Raja Bahrin turut mengingatkan, ahli parlimen pembangkang pernah berkali-kali menuntut penjelasan berkenaan kos pembinaan klia2 yang mencecah sehingga RM4 bilion, daripada kos asal RM1.7 bilion.

“Tiada siapa dari pihak Kerajaan yang kesah untuk beri penjelasan yang memuaskan,” tambah beliau.

“Tetapi kerajaan masih lagi berkeras bahawa ianya terminal kos rendah. Tetapi kini Pengarah Urusan MAHB memberi kenyataan yang bercanggah dengan kerajaan dengan mengesahkan ianya bukan terminal kos rendah!

“Patutlah rakyat keliru dan meluat.”

Kontroversi terkini itu berikutan langkah AirAsia mahu merujuk klia2 sebagai LCCT2, dalam usaha mempromosikan terminal itu sebagai hab penerbangan tambang murah utama di rantau Asia.

Bagaimanapun, MAHB membantah penjenamaan semula klia2.

Penumpang di KLIA dikenakan caj PSC RM65 bagi penerbangan antarabangsa dan RM9 bagi penerbangan domestik.

Manakala di klia2, caj yang dikenakan ialah RM32 dan RM6.

Caj purata di lapangan terbang utama Asia ialah RM78.

 

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.