Komisioner Jeneral Penjara Datuk Seri Zulkifli Omar berkata mereka boleh berjumpa secara bersentuhan melalui permohonan yang diluluskan oleh Pengarah Penjara yang berkaitan setelah dipertimbangkan mengikut keperluan dan bukan secara berterusan.
Beliau berkata demikian bagi menjelaskan laporan beberapa portal berita tempatan berhubung perjumpaan secara bersentuhan fizikal antara banduan dan
keluarga.
“Banduan terpilih yang melepasi syarat-syarat pemulihan, disiplin, tempoh hukuman yang telah dijalani sahaja dibenarkan berjumpa secara bersentuhan dengan keluarga semasa program jalinan kasih yang dianjurkan oleh Jabatan Penjara sempena sambutan hari tertentu.
“Perjumpaan secara bersentuhan ini tidak dilakukan secara berterusan dan tidak dibenarkan semasa perjumpaan biasa bagi membina pemulihan diri banduan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Selain itu, Zulkifli berkata banduan atau Orang Yang Diselia terpilih dari segi kemajuan pemulihan, tempoh hukuman dan lain-lain bagi mengikuti Program Pemulihan Permasyarakatan di kem tentera juga dibenarkan berjumpa secara bersentuhan dengan keluarga pada setiap kali perjumpaan.
Beliau berkata prosedur yang dilaksanakan Jabatan Penjara adalah dengan mengambil kira semua aspek termasuk fungsi jabatan iaitu kawalan keselamatan dan pemulihan.
“Prosedur yang dilaksanakan berlandaskan Peraturan-Peraturan Penjara 2000 dan langkah seumpama ini juga turut dilaksanakan oleh beberapa penjara di luar negara,” katanya.
Isnin lepas, beberapa portal berita tempatan melaporkan wakil rakyat PKR, N Surendran menggesa Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi supaya membenarkan sentuhan fizikal antara tahanan dan anggota keluarga mereka ketika berjumpa.
