Kerajaan larang kaedah lahir bayi dalam air

Kerajaan larang kaedah lahir bayi dalam air

Tiada bukti menunjukkan kelahiran dalam air adalah selamat dan memberi manfaat kepada ibu.

waterbirth

PUTRAJAYA:
Kementerian Kesihatan melarang kaedah melahirkan bayi dalam air yang dilakukan di mana-mana hospital swasta dalam negara ini.

Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Perubatan), Datuk Dr S Jeyaindran berkata, masih tiada bukti yang menunjukkan kaedah kelahiran itu memanfaatkan ibu.

Baru-baru ini, Kementerian Kesihatan memberi notis larangan tersebut kepada Hospital Pantai di Kuala Lumpur yang kemudiannya mencetuskan perdebatan di media sosial susulan arahan berkenaan.

Jelasnya, arahan sama akan diberikan kepada mana-mana hospital yang menawarkan perkhidmatan sama.

“Kita mengeluarkan arahan ini demi faktor keselamatan, walaupun kaedah itu telah dipraktikkan beberapa tahun sebelum ini dan tidak berlaku apa-apa insiden, namun sekiranya ada bayi yang meninggal dunia menggunakan kaedah itu, siapa yang akan bertanggungjawab?” soalnya dalam sidang media hari ini.

Jelasnya, larangan itu akan diteruskan selagi tiada bukti menunjukkan kelahiran dalam air adalah selamat dan memberi manfaat kepada ibu dan mereka yang terbabit.

 

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.