Selepas tekanan, Universiti Adelaide tukar nama plaza ‘Taib’

Selepas tekanan, Universiti Adelaide tukar nama plaza ‘Taib’

Plaza yang sebelum ini dinamakan Taib Mahmud Court itu akan dinamakan Colombo Plan Alumni Court.

taib-law66

PETALING JAYA:
Selepas mendapat tekanan pelbagai pihak, Universiti Adelaide di Australia akhirnya bertindak menukar nama salah sebuah bangunannya yang dinamakan sempena bekas ketua menteri Sarawak, Tun Abdul Taib Mahmud.

Menurut Yayasan Bruno Manser (BMF), pertubuhan anti-pembalakan berpusat di Switzerland yang kerap mengkritik pentadbiran Taib, pihak universiti mengesahkan keputusan pertukaran nama itu, susulan kempen dua tahun yang turut melibatkan masyarakat Penan Sarawak.

Plaza yang sebelum ini dinamakan “Taib Mahmud Court” itu akan dinamakan “Colombo Plan Alumni Court”, dan kerja pemasangan papan tanda baharu bakal dijalankan.

Taib merupakan ketua menteri Sarawak dari 1981 sehingga 2014, sebelum dilantik gabenor selepas persaraannya.

Sementara itu, tindakan universiti itu mendapat pujian Ahli Parlimen Parti Hijau Australia, Park Parnell, yang pada tahun lalu mengetengahkan di Parlimen Australia bantahan terhadap penggunaan nama Taib oleh universiti itu.

Bagaimanapun, BMF berkata pihak universiti perlu mengembalikan wang derma AS$400,000 (RM1.6 juta) kepada Sarawak.

Menurutnya, Naib Canselor Universiti Adelaide, Warren Bebbington masih belum menjawab tuntutan sekumpulan masyarakat Penan pada November tahun lalu supaya wang itu dikembalikan bagi membantu usaha pembangunan masyarakat luar bandar dan pemuliharaan hutan Sarawak.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.