
Penolong Setiausaha Diplomasi Awam dan Hal Ehwal Awam Richard Stengel berkata pusat baharu itu mempunyai fungsi yang sama seperti di Emiriyah Arab Bersatu iaitu akan melemahkan aktiviti merekrut secara digital oleh kumpulan pengganas dan usaha propagandanya.
“Pusat itu akan mengisi jurang dalam landskap media dengan cara menentang ‘penyebaran viral maklumat palsu oleh pelaku terbabit,” katanya kepada Dewan Jawatankuasa Hal Ehwal Luar di Washington, semalam, lapor Bloomberg.
Selepas pembukaan pusat itu di Kuala Lumpur, pusat yang sama akan dijangka dibuka di Jordan dan Nigeria. Ia akan mula beroperasi untuk menyekat perekrut IS yang semakin ramai kini beralih daripada rangkaian tidak dilindungi kepada platform sulit.
Meskipun keadaan itu menyukarkan kerja menjejak sesetengah perbualan dalam talian, Richard berkata kejayaan juga boleh diukur pada kemerosotan jumlah pejuang asing masuk ke kawasan konflik dan penurunan aktiviti media dan media sosial.
Syarikat seperti Twitter dan Facebook juga membantu usaha Jabatan Negeri dengan menjadi lebih proaktif dan menutup akaun atau propaganda pro IS, katanya kepada Bloomberg.
Beliau memberitahu jawatankuasa itu, Twitter sudah menutup kira-kira 125,000 akaun pro IS.
Data pusat anti IS menunjukkan kumpulan itu semakin melebarkan sayapnya di peringkat antarabangsa meskipun berdepan halangan di medan perang di Syria dan Iraq.
Menurut Bloomberg, tahun ini kumpulan militan itu berjaya memberi inspirasi hingga menyebabkan kejadian kematian besar-besaran di beberapa tempat termasuk Turki, Bangladesh, Arab Saudi dan Orlando, Florida.
Walaupun Malaysia tidak menjadi sasaran langsung serangan IS, polis Malaysia menahan 14 individu pada Mei yang disyaki ada kaitan dengan kumpulan militan itu.
Australia pada Februari berkata pengganas itu mungkin merancang menyasarkan kawasan yang menjadi tumpuan dan sering dikunjungi rakyat negara Barat.
-BLOOMBERG