Pelan hala tuju Padu dibentang hujung April

Pelan hala tuju Padu dibentang hujung April

Menteri Ekonomi Akmal Nasrullah Nasir berkata perincian itu akan mengambil kira keperluan secara menyeluruh termasuk RMK13.

Menteri Ekonomi Akmal Nasrullah Nasir fmt 31326
Menteri Ekonomi Akmal Nasrullah Nasir dalam sidang media selepas merasmikan Seminar Pemetaan Peluang Strategik GLC Melalui RMK13.
PUTRAJAYA:
Kerajaan dijangka membentangkan pelan hala tuju Sistem Pangkalan Data Utama (Padu) lebih menyeluruh menjelang hujung April.

Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Nasir, berkata perincian itu akan mengambil kira keperluan secara menyeluruh termasuk Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).

“Kita akan kongsikan pelan hala tuju Padu mungkin dalam penghujung bulan ini melihat kepada keperluan dalam RMK dan sebagainya, lebih meluas,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan Seminar Pemetaan Peluang Strategik GLC Melalui RMK13.

Beliau berkata, pelaksanaan Padu buat masa ini masih menggunakan sistem sedia ada bagi mengelak kekeliruan.

“Memang kita telah menyatakan bahawa penggunaan sistem Padu penting untuk pastikan keputusan kerajaan berpandukan data. Malah, yang dinyatakan itu juga, bukan sekadar apa yang telah diputuskan sebelum ini, tetapi langkah ke hadapan,” katanya.

Padu yang dilancarkan pada Januari 2024 sebelum ini berada bawah seliaan bekas menteri Rafizi Ramli.

Pangkalan data itu menggabungkan data yang telah disahkan daripada pelbagai agensi bagi menyediakan maklumat hampir masa nyata, mengurangkan pertindihan data serta memastikan subsidi disalurkan kepada golongan benar-benar layak.

Sistem itu pada asalnya dirangka sebagai rujukan utama pelaksanaan subsidi bahan api RON95 secara bersasar. Namun, pada September tahun lalu, kerajaan memperkenalkan mekanisme subsidi bersasar Budi Madani RON95 (BUDI95), yang menetapkan harga petrol bersubsidi pada RM1.99 seliter bagi rakyat yang layak.

Dalam perkembangan lain, Akmal memaklumkan krisis tenaga global dijangka kembali stabil sekurang-kurangnya dalam tempoh enam bulan, malah berpotensi mencecah sehingga setahun, susulan ketidaktentuan geopolitik di Asia Barat yang terus memberi tekanan kepada rantaian bekalan dunia.

Katanya, kerajaan turut meneliti langkah bagi menjamin kestabilan bekalan, bukan sahaja melibatkan bahan api tetapi bekalan utama lain yang terkesan akibat krisis semasa.

Beliau turut memaklumkan, hasil perbincangan Mesyuarat Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) susulan krisis di Asia Barat yang berlangsung hari ini akan dibentangkan dalam mesyuarat Kabinet esok.

Mengulas jangkaan Bank Negara Malaysia (BNM) yang mengunjurkan pertumbuhan keluaran dalam negara kasar (KDNK) sebanyak 4% hingga 5% pada 2026 di sebalik konflik Iran, Akmal yakin ekonomi negara akan terus berkembang tahun ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.